27 Oktober 2016

27 Oktober 1987 : 15 Pemimpin PAS Ditahan Bawah ISA Dalam Operasi Lalang

Pada hari ini dalam tahun 1987, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan gerakan Operasi Lalang bagi menangani isu perkauman yang sedang hangat diperkatakan ketika itu. Dalam operasi ini, seramai 106 orang pemimpin politik, aktivis sosial, ahli akademik dan pejuang hak asasi manusia, termasuk 15 orang pemimpin PAS telah ditahan di bawah ISA. Krisis perkauman yang timbul ini adalah ekoran perpecahan dalam Umno sejak pertembungan Team A dan Team B dalam Umno pada April 1987, yang diikuti oleh isu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) yang digerakkan oleh Dong Jiao Zong, yang akhirnya membawa kepada pergeseran antara Umno dan MCA.

Isu asal yang membawa kepada krisis perkauman ini ialah arahan Kementerian Pendidikan supaya dua guru Melayu bertugas sebagai guru besar di SRJKC. Bantahan Dong Jiao Zong kemudiannya didukung oleh MCA, Gerakan dan DAP melalui Jawatankuasa Bertindak Bersama yang dianggotai oleh 18 pertubuhan Cina. Bertindak balas terhadap gerakan orang Cina ini, Pergerakan Pemuda Umno yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Datuk Mohd Najib Razak telah mengaturkan perhimpunan Melayu di Stadium TPCA, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru dengan seruan membawa 'pisau' dan 'mancis.' Sultan Selangor pula telah bertindak menarik balik gelaran Dato' daripada Presiden MCA, Lee Kim Sai, sedangkan dalam masa yang sama berlaku amukan Prebet Adam yang menembak mati dua orang Cina di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang membatalkan perhimpunan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno Ke-41 tidak menamatkan krisis ini. Sebaliknya ia bertukar menjadi alasan untuk menahan musuh-musuh politik Umno-BN dalam menangani perpecahan dalaman mereka. PAS sendiri pada 19 Oktober 1987, telah membuat pendirian bahawa semua pimpinan dan ahlinya tidak akan terlibat dalam mana-mana himpunan yang berasaskan asobiyah dan perkauman yang sempit. Pendirian ini disahkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 20 Oktober 1987. Namun begitu, pendirian PAS ini tidak dapat melepaskan ahli-ahlinya dari menjadi mangsa keganasan ISA setelah Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987. Seramai 15 orang pimpinan dan ahli PAS yang ditahan, di mana sebahagiannya dituduh terlibat dengan "Jundullah," sebuah pergerakan bawah tanah yang tiada kaitan dengan PAS.

Antara pemimpin PAS yang ditahan ISA dalam Operasi Lalang ini ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Abdul Khalid Samad (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Mohamad Sabu (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Mahfuz Omar (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat), Suhaimi Said (Penasihat Undang-undang PAS), Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakob (Dewan Ulamak PAS Perak), Ustaz Abdul Latif Mohamad (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat), Mohd Yusof Husein (Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah), Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof. Yang ditahan atas tuduhan terlibat dengan Jundullah ialah Ustaz Buniyamin Yaakob, Zainuddin Abdullah, Tengku Shukri Tengku Zainal, Kamarulzaman Ismail dan Ustaz Omar Khalid.

Ekoran penahanan ISA yang dibuat tanpa dibuktikan bersalah ini, pada 21 November 1987, PAS Pusat telah menghantar rombongan terdiri daripada Pak Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar. Setelah dua bulan Operasi Lalang dijalankan, semua pempinan PAS yang ditahan telah ditempatkan di Kem Tahanan Kemunting untuk tahanan selama dua tahun kecuali Ustaz Abdul Halim Arshat, Tuan Guru Haji Mohd Arif Yaakub, Ustaz Abdul Latif Mohamad, Mohd Ali Hanafiah Ismail dan Nawawi Yusof yang dibebaskan selepas ditahan selama dua bulan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: