08 Oktober 2016

08 Oktober 1960 : ADUN Parti Negara Sertai PAS Untuk Kukuhkan Kerajaan PAS Terengganu

Pada hari ini dalam tahun 1960, ADUN Langkap, Ismail Abbas telah mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kerajaan PAS Terengganu yang menghadapi krisis kepemimpinan sejak Ogos 1959. Ekoran krisis kepemimpinan PAS Terengganu yang berpanjangan ini, ia telah memberikan kesan negatif kepada kestabilan Kerajaan Negeri Terengganu yang dipimpin oleh PAS sejak selepas Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959. Kegagalan PAS melantik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah sebagai Menteri Besar Terengganu, yang diikuti oleh kegagalan melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Besar kemudiannya telah menjadi punca kepada krisis politik ini.

Pilihan Raya Negeri Terengganu Kali Pertama diadakan pada 20 Jun 1959, di mana PAS telah berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi DUN, sedangkan bakinya dikuasai oleh Perikatan (tujuh) dan Parti Negara (PN) (empat). Pada 29 Jun 1959, PAS telah membentuk kerajaan dengan Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang pertama selepas merdeka. Turut dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) ialah Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah (Jeram), Abu Bakar Salleh (Sura), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Tengah), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun) dan Mohd Senari Yunus (Kampung Raja), manakala Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang) dilantik sebagai Speaker DUN Terengganu.

Selepas pembentukan Kerajaan PAS Terengganu ini, pada 5 Ogos 1959, timbul krisis dalam kepemimpinan PAS Terengganu kerana ada Cawangan PAS yang tidak berpuas hati terhadap Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam. Krisis ini kemudiannya dianggap selesai apabila Ustaz Ahmad Azzam dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 7 Mei 1960. Namun ia menjadi barah kepada kerajaan apabila Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah pada 20 Mei 1960 telah menuntut untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar seperti yang telah dipersetujui sebelumnya. Ekoran itu, pada 13 Jun 1960, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah menghantar beberapa Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk 'mengembalikan muhibbah' dan mendamaikan PAS Terengganu.

Di sebalik kesediaan semua pemimpin PAS Terengganu untuk bertolak ansur, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah berkeras supaya PAS menyelesaikan isu perlantikan Timbalan Menteri Besar dan memecat keahlian Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar. Akhirnya pada 27 Jun 1960, beliau membuat ugutan untuk keluar PAS jika tuntutannya tidak dipenuhi, sehingga beliau keluar PAS pada 15 Julai 1960. Keadaan ini telah menyebabkan Kerajaan PAS Terengganu terumbang-ambing kerana PAS mempunyai kerusi yang seimbang dengan pembangkang, 12-12. Untuk menyelamatkan kerajaan, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14-15 Julai 1960 telah memutuskan sana ada PAS menarik ADUN PN menyertai PAS atau membentuk kerajaan campuran PAS-PN.

Pada 6 Jun 1960, ADUN PN, Mohd Abdul Rahman telah mengemukakan usul tidak percaya kepada Kerajaan PAS Terengganu di DUN, tetapi usul ini gagal apabila Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah menentang usul tersebut, tetapi beliau juga turut menggagalkan usul kerajaan untuk mendapatkan belanjawan tambahan. Pada 18-19 Ogos 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengarahkan Menteri Besar Terengganu merundingkan pembentukan kerajaan campuran dengan PN. Ketika rundingan pembentukan kerajaan campuran ini telah berada di tahap terakhir, di mana empat ADUN PN akan memperkukuhkan Kerajaan Terengganu, tiba-tiba ADUN Langkap dari PN, Ismail Abbas telah menyatakan kesediannya untuk menyertai PAS.

Pada 8 Oktober 1960, beliau telah mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS, yang sekali gus menggagalkan pembentukan kerajaan campuran tersebut, tetapi PAS kekal menguasai majoriti di DUN Terengganu. Ismail Abbas kemudiannya dilantik sebagai anggota Exco Terengganu, selain menjadi Yang Dipertua PAS Cawangan Kuala Terengganu Utara (1960-1969). Ismail Abbas, seorang ahli perniagaan, pada asalnya adalah ahli PN, setelah menyertai PAS, dipilih mewakili di DUN Langkap dalam Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969, tetapi tewas. Pada 1974, beliau keluar PAS kerana tidak bersetuju PAS menyertai BN dan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Jeram.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: