09 Oktober 2016

09 Oktober 1988 : PAS Setuju Rundingan Politik Bersama Berjasa Dan Semangat 46

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil dua keputusan penting yang mengubah pendekatan politik PAS sehingga ia menjadi parti yang berpengaruh di arena politik di negara ini. Dua keputusan tersebut ialah PAS menerima kertas kerja Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk "Tahaluf," sebelum PAS bersetuju untuk Lajnah Politik PAS Pusat menerokai tahaluf ini dengan mengadakan rundingan kerjasama bersama parti-parti lain. Dua buah parti yang menjadi sasaran PAS ialah serpihan PAS, Berjasa dan serpihan Umno, Semangat 46.

Sebelum itu, Berjasa dan Semangat 46 telah membentuk kerjasama melalui Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Kertas kerja Tahaluf yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menggariskan asas-asas perjanjian persefahaman politik untuk saling bantu-membantu bagi menghadapi parti lawan. Antara syarat utama yang membolehkan tahaluf ialah:

I. Membawa maslahat dan tidak mengikat PAS hingga menjejaskan prinsip;
II. Mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan PAS;
III. Tidak berwala' kepada rakan pakatan dan tidak redha dengan pegangan mereka.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam saranannya menekanan bahawa PAS mesti "mengutamakan persefahaman dengan kumpulan Islam" berbanding "kumpulan bukan Islam", "jangan terikat dengan janji yang akan menghalang penubuhan negara Islam," dan "membuat ikatan-ikatan longgar yang tidak akan membelenggu PAS di belakang hari." Setelah cadangan tahaluf besertakan dengan garis-garis panduan perlaksanaan ini diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 Oktober 1988, mereka kemudiannya telah memberikan keizinan kepada Lajnah Politik PAS Pusat untuk mengadakan rundingan-rundingan kerjasama dengan beberapa parti politik orang Islam seperti Berjasa dan Semangat 46.

PAS menggariskan tiga alternatif tahaluf dengan Berjasa dan Semangat 46 iaitu membentuk barisan parti-parti pembangkang atau mengadakan persefahaman dengan parti-parti pembangkang atau membentuk barisan parti-parti pembangkang Islam yang kemudiannya mengadakan persefahaman dengan parti-parti pembangkang yang lain. PAS turut mensyaratkan supaya semua perkembangan rundingan dengan parti-parti lain dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan semua keputusan ditentukan oleh mereka. Hasil daripada pendirian PAS tentang tahaluf ini, ia telah membuka langkah politik baru dalam sejarah PAS.

PAS kemudiannya telah membentuk persefahaman politik dengan Angkatan berdasarkan cadangan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989 dalam kertas kerja Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya," di mana ia menggariskan bahawa PAS tidak terlibat dalam Angkatan, tetapi mempunyai persefahaman politik dengan gabungan ini. Persefahaman ini bertujuan untuk memencilkan Umno dari kumpulan politik Melayu Islam yang lain dan melemahkan Umno melalui persefahaman dengan Semangat 46. Menjelang Pilihan Raya Umum 1990, PAS telah berjaya memperkukuhkan persefahaman politik ini terutama apabila sebuah lagi serpihan PAS, Hamim turut menyertai Angkatan pada Jun 1990 sehingga akhirnya persefahaman PAS-Angkatan berjaya menguasai Kerajaan Kelantan pada 21 Oktober 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: