19 Oktober 2016

19 Oktober 1953 : Pejabat Agung PAS Berpindah Dari Bukit Mertajam Ke Kepala Batas

Pada hari ini dalam tahun 1953, Pejabat Agung PAS yang terletak di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam telah berpindah ke pejabat yang baru di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ini adalah kali keempat ia berpindah setelah menumpang sementara di rumah Sheikh Abdullah Fahim sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951. Pejabat Agung PAS kemudiannya beralamat di No. 721, Kepala Batas (sekarang Jalan Kedah) iaitu menumpang di rumah Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki. Selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953, Cikgu Ahmad Awang dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS, dan Pejabat Agung PAS ditempatkan di Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam, iaitu sekolah agama milik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Yang Dipertua Agung PAS.

PAS tidak menghadapi sebarang masalah dengan Pejabat Agungnya di Bukit Mertajam kerana Yang Dipertua Agung PAS adalah mudir madrasah tersebut. PAS juga mempunyai Setiausaha Kerja sepenuh masa di sini iaitu bekas pemimpin Hizbul Muslimin, Mohd Asri Haji Muda. Namun begitu, dalam usaha PAS menuntut kemerdekaan melalui tuntutan pilihan raya segera, telah timbul krisis kepemimpinan. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan cenderung untuk membawa PAS mendukung tuntutan National Conference tajaan 16 orang kenamaan, sedangkan sebahagian pimpinan PAS yang lain mahu PAS bersama National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Akhirnya pada 26 September 1953, Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasah al-Masriyah telah memutuskan supaya PAS bersama National Convention.

Keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS ini kemudiannya telah menyebabkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan meletakkan jawatan dan keluar dari PAS kerana beliau berpendapat keputusan PAS tidak selari dengan pendiriannya. Setelah beliau berundur dari PAS, beliau telah meminta supaya PAS tidak lagi berpejabat agung di madrasahnya. Ekoran itu, pada 8 Oktober 1953, Jawatankuasa Tadbir PAS telah membincangkan kedudukan Pejabat Agungnya. Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah telah menawarkan supaya Pejabat Agung PAS menumpang di madrasahnya sementara mendapat pejabat yang lebih baik. Perpindahan ini ditetapkan akan dibuat dalam tempoh 10 hari dan mulai 19 Oktober 1953, Pejabat Agung PAS yang baru adalah bertempat di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas.

Perpindahan yang berkuatkuasa mulai 19 Oktober 1953 ini telah menyebabkan proses pendaftaran PAS yang dikendalikan oleh Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah menamakan madrasah ini sebagai Pejabat Agung PAS yang berdaftar. Walaupun selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 yang memutuskan isu disiplin parti, di mana Ustaz Haji Ahmad Badawi telah memilih kekal bersama Umno dan memaksa Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke sebuah rumah kedai berhampiran, namun nama madrasah ini kekal dalam pendaftaran PAS. Ketika pendaftaran PAS sebagai parti politik diluluskan pada 31 Mei 1955, ia mencatatkan alamat PAS ialah Arabic School, Kepala Batas dengan merujuk kepada Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: