05 Oktober 2016

05 Oktober 1986 : Permohonan Perletakan Jawatan Pemimpin Tertinggi PAS Ditolak

Pada hari ini dalam tahun 1986, Jawarankuasa Kerja Agung PAS telah menolak perletakan jawatan Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi dari jawatan Yang Dipertua Agung PAS, setelah pemimpin tertinggi PAS itu berbuat demikian pada 28 September 1986. Turut meletakkan jawatan ialah Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ahmad Subky Abdul Latif. Mereka bertindak demikian sebagai mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1986 yang didakwa oleh ahli-ahli PAS berpunca dari penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC). CCC dikatakan telah menikam PAS dari belakang ketika pilihan raya umum itu berlangsung.

CCC adalah sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar PAS pada 22 Januari 1986 dan dipengerusikan oleh Syed Ibrahim Abdul Rahman. CCC berfungsi untuk membentuk hubungan di antara PAS dan masyarakat Cina, dan menjadi strategi penting PAS dalam dakwah dan pilihan raya. Pada awalnya, PAS telah menawarkan kerusi-kerusi untuk orang Cina atas tiket PAS, tetapi pada akhirnya yang bertanding adalah di kalangan Cina Muslim. CCC telah menerima provokasi yang kuat dari MCA, DAP dan juga Umno yang menuduh mereka menjadi alat PAS dan PAS dituduh menipu orang Cina. Media massa turut memanipulasikan isu pertemuan pimpinan PAS dengan pemimpin Umno yang akhirnya berjaya mengalihkan semula orang Cina dari PAS. Dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986, PAS hanya menang satu kerusi Parlimen sahaja iaitu menerusi Ustaz Nik Abdullah Arshad (Pengkalan Chepa). 

Akibat analisis-analisis yang dibuat oleh pelbagai pihak yang merumuskan bahawa kekalahan PAS adalah berpunca dari CCC, hubungan PAS dengan masyarakat Cina mulai kritikal, tetapi pemimpin PAS masih optimis dengan pendekatan politico-dakwah ini. Namun begitu, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-32 di Masjid Rusila, Terengganu pada 27-28 September 1986, isu CCC menjadi tegang. Ia bermula dengan kenyataan optimis Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa terhadap strategi bersama CCC, kemudiannya menerima kecaman hebat dari wakil Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdul Khalid Samad. Wakil Dewan Pemuda PAS Pusat itu mencadangkan supaya bahagian Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang mempertahankan CCC ditolak dan mengusulkan supaya PAS "mengkaji semula hubungan dan persefahaman yang telah dijalin dengan parti-parti politik bukan Islam." Usul ini yang diluluskan dengan lebihan suara bukan sahaja telah menyebabkan satu frasa Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS tertolak, tetapi turut menjejaskan kewibawaan pucuk pimpinan PAS seluruhnya, terutama yang terlibat menggerakkan CCC.

Ekoran dari kelulusan usul ini, empat pimpinan tertinggi PAS tersebut telah mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan pada hujung muktamar itu. Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang mengadakan mesyuarat tergempar pada 5 Oktober 1986 telah memutuskan untuk menolak semua perletakan jawatan ini, dan mengutuskan satu rombongan terdiri daripada Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dr Daeng Sanusi Mariok, Dr Haji Abbas Alias, Ustaz Hassan Shukri dan Cikgu Mustafa Ali untuk menemui Pak Yusof Rawa, Ustaz Nakhaie Ahmad, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif. Hasil dari pertemuan ini, mereka berempat telah menarik balik surat-surat perletakan jawatan mereka dengan Ustaz Nakhaie Ahmad memberi syarat bahawa semua Ahli Jawatankuasa Kerja Agung mesti bertanggungjawab secara kolektif terhadap apa sahaja keputusan mereka yang tidak bercanggah dengan syarak. Pada 26 Oktober 1986, Pak Yusof Rawa kembali memimpin mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: