21 Oktober 2016

21 Oktober 1961 : Tiga ADUN PAS Terengganu Keluar Parti Setelah Diculik

Pada hari ini dalam tahun 1961, tiga orang ADUN PAS dari Terengganu telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno, sekaligus mengakhirkan krisis politik Terengganu dengan kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu yang dibentuk pada 29 Jun 1959. Konflik kepemimpinan yang bertukar menjadi krisis politik ini berpunca dari kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Negeri Terengganu 1959 di mana PAS hanya menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN. Pergolakan yang berlaku sejak proses melantik Menteri Besar Terengganu itu telah menyebabkan ADUN Jeram, Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar keluar masuk PAS sejak Jun 1960, selain tindakan Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamad yang turut keluar parti pada 22 Julai 1960.

PAS telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan parti dan kerajaan setelah Kerajaan PAS Terengganu dikenakan usul undi tidak percaya pertama kali pada 6 Ogos 1960, di mana Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu yang sudah keluar parti, mengundi mempertahankan Kerajaan PAS. Antara langkah yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah sama ada membentuk sebuah kerajaan campuran dengan Parti Negara yang mempunyai empat ADUN atau menarik mana-mana ADUN Parti Negara menyertai PAS. Ketika proses perundingan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Parti Negara berada di peringkat terakhir, ADUN Langkap dari Parti Negara, Ismail Abbas telah mengumumkan penyertaannya dalam PAS, sekali gus menggagalkan proses rundingan kerajaan campuran.

Kegagalan rundingan kerajaan campuran dan penyertaan ADUN Langkap ke dalam PAS ini telah menyebabkan PAS menghadapi dua musuh serentak iaitu Perikatan dan Parti Negara. Perikatan yang dipimpin oleh Ibrahim Fikri Mohamad telah menyusun langkah mensabotaj kerajaan PAS, termasuk menculik ADUN PAS sehingga kerajaan dapat dijatuhkan. Sedangkan pemimpin Parti Negara, Wan Daud Wan Ahmad pula berusaha menarik dua lagi ADUN Parti Negara supaya menyokong Perikatan. Dua ADUN PAS, Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) telah hilang kerana diculik, setelah tersiar di akhbar-akhbar sejak 19 Jun 1961 bahawa ADUN Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar akan keluar parti. Jika PAS kehilangan tiga ADUN ini bersama Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah, kerusi PAS di DUN Terengganu akan berkurang dari 14 (termasuk ADUN Langkap yang menyertai PAS), kepada 10 dari 24 kerusi DUN.

Di sebalik misteri kehilangan dua ADUN dan desas-desus keluarnya ADUN Marang dari PAS, pada 21 Oktober 1961, media massa telah menyiarkan berita bahawa enam ADUN Terengganu telah menyertai Umno, iaitu tiga ADUN PAS (Kuala Besut, Kuala Terengganu Tengah dan Marang) dan tiga ADUN Parti Negara, sekali gus menjadikan jumlah ADUN Perikatan bertambah dari tujuh kepada 13 orang. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 21 Oktober 1961 telah menerima laporan kehilangan ADUN PAS dan pengumuman mereka menyertai Umno, dan telah mengambil keputusan supaya pimpinan tertinggi PAS diketuai Mohd Asri Haji Muda segera ke Terengganu untuk menyelesaikan masalah ini sebelum DUN Terengganu bersidang pada akhir Oktober 1961. Akibatnya, pada 30 Oktober 1961, Kerajaan PAS Terengganu pimpinan Mohd Daud Abdul Samad selaku Menteri Besar Terengganu telah tumbang dalam satu usul undi tidak percaya.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: