25 Oktober 2016

25 Oktober 1969 : Prof Dr. Burhanuddin Al-Helmy Mohd Noor Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 1969, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor telah meninggal dunia setelah lebih empat tahun menderita sakit dan berulang-alik ke hospital akibat deraan yang dialami ketika ditahan ISA sejak awal 1965. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy sendiri lewat surat-surat peribadinya, beliau telah menerima tekanan, seksaan dan deraan fizikal dan mental sepanjang tahanan tersebut yang menyebabkan beliau menderita sepanjang hayat. Beliau dituduh tanpa bukti bahawa terlibat dalam satu rancangan menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di Karachi yang menyebabkan beliau ditahan ISA pada awal 1965, walaupun beliau berulang-ulang kali menafikannya.

Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911 dengan campuran Minang-Arab. Bapanya seorang ulamak lulusan Mekah yang berasal dari Tanah Datar, Sumatera Barat. Beliau mendapat pendidikan tinggi di India, Singapura, England, Pakistan, Bangladesh dan Kanada dalam bidang falsafah Islam dan perubatan homeopathy sehingga diberikan gelaran profesor oleh California Homeopathic Medical College bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam memgembangkan ilmu homeopathy di Tanah Melayu. Beliau adalah doktor homeopathy berbangsa Melayu yang pertama dan telah membuka kolej homeopathy di Singapura, Kuala Lumpur dan Gunung Semanggol selepas 1952, selain menjadi Yang Dipertua-Pengasas Persatuan Homeopathy Malaya (PHM). Nama beliau mulai terkenal kerana menulis sebuah buku, "Asuhan Kesihatan" ketika berusia 18 tahun pada 1929.

Dalam dunia politik, beliau mula terlibat dengan politik kiri bersama Sarekat Islam ketika belajar di Indonesia pada 1924, kemudian mengikuti gerakan Liga Muslim ketika berada di Aligarh Muslim University, India pada 1929-1930. Beliau juga pernah ditahan oleh British di Palestin pada 1936 kerana terlibat dalam bantahan isu Perjanjian Belfour, sebelum aktif sebagai Setiausaha Jam'iyatul Dakwah Singapura yang dipimpin oleh Sheikh Abbas Taha. Pada 1937, beliau terlibat dalam debat isu jilatan anjing di Kelantan sehingga beliau mula dikenali sebagai tokoh kaum muda. Pada 1938, beliau terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM), tetapi dipenjara oleh British di Singapura kerana tulisannya, "Taman Bahagia." Ketika menyiapkan tesis PhD-nya di Fakulti Psikologi, Aligarh Muslim University (1942-1943), beliau mula mendalami ilmu tasawuf sehingga terkenal beliau sebagai tokoh tasawuf di negara ini.

Ketika Perang Dunia Kedua sedang tercetus, beliau telah dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Gunseikanbu, Markaz Tentera Jepun Singapura pada 1943, sebelum berpindah ke Markaz Besar Tentera Jepun di Taiping pada 1944. Selain menyusun Persidang Majlis Agama Malai-Sumatera di Kuala Kangsar, beliau juga telah menggubal draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka "Piagam Taiping," pada 1945, tetapi kemerdekaan gagal diisytiharkan. Menerusi Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) beliau memimpin pergerakan politik bersama Ibrahim Haji Yaakob pada akhir zaman Jepun, dan kemudiannya memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), mengetuai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan mempengerusikan kerjasama PUTERA-AMCJA antara 1946-1948. Pada 1950, beliau memimpin Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang menyebabkan beliau ditahan selama 18 bulan di Singapura, sebelum beliau terlibat mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 1955.

Penglibatan beliau dalam gerakan politik Islam di Indonesia dan India sebelum ini, telah mendorong beliau mengatur penubuhan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 sebelum ia menubuhkan Hizbul Muslimin pada 1948. Ketika PAS ditubuhkan, Dr Burhanuddin al-Helmy berada dalam tahanan British. Selepas dibebaskan pada 1952, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi menerima perlantikan sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru pada 1954, sebelum menjadi ahli PAS secara rasmi pada 14 Disember 1956. Pada 25 Disember 1956, beliau diangkat sebagai Yang Dipertua Agung PAS ketiga menggantikan Dr Haji Abbas Alias. Ahli Parlimen Besut (1959-1964) ini memimpin PAS sehingga beliau ditahan ISA pada 28 Januari 1965. Tokoh yang dikenal sebagai "Putera Setia Melayu Raya" ini kemudiannya hanya menjadi pemimpin de jure PAS kerana sekatan politik yang dikenakan ke atasnya sejak 14 Mac 1966 sehingga 22 September 1969. Pembebasan ini ada sebahagian dari strategi Perikatan untuk mendekati PAS selepas Tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, sebulan kemudian, iaitu pada 25 Oktober 1969, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah meninggal dunia dan Dato' Mohd Asri Haji Muda memangku jawatan beliau sehingga krisis politik berakhir pada 1971.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: