16 Oktober 2016

16 Oktober 2003 : Zaid Ibrahim Gesa EKJS Terengganu 2002 Tidak Diwartakan

Pada hari ini dalam tahun 2003, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mohd Zaid Ibrahim telah menggesa Kerajaan PAS Terengganu supaya jangan mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kesahihan undang-undang serupa yang digubal oleh DUN Kelantan pada 1993. Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu merupakan seorang peguam yang terkenal dan lantang mengkritik perlaksanaan syariat di negara ini. Pada 12 Julai 2002, beliau telah bertindak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk memohon deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlaksanaan undang-undang jenayah syariah telah menjadi isu di negara ini sejak 1992 apabila Kerajaan PAS Kelantan memulakan langkah penggubalan undang-undang tersebut sehingga ia berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan pada 23 November 1993. Apabila PAS berjaya menguasai Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 1999, Kerajaan PAS Terengganu pula mengemukakan undang-undang jenayah syariah ke DUN Terengganu pada 7-8 Julai 2002. Di sebalik tindakan media pro BN memanipulasikan isu hudud ini, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu telah bertindak membawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 ke Mahkamah Persekutuan pada 12 Julai 2002 dengan maksud untuk menghalang proses penggubalan undang-undang tersebut di Terengganu. Umno Kelantan sendiri pada 28 Julai 2002 telah dimaklumkan bahawa kabinet dan Majlis Tertinggi Umno tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang menyebabkan Umno dituduh menolak hudud dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit sepanjang Julai 2002.

Selepas berjaya menggubal Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 26 September 2003 telah mengumumkan bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 pada 27 Oktober 2003. Beliau turut mempertegaskan bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan tetap melaksanakan undang-undang jenayah syariah walaupun tidak mendapat kerjasama polis. Pengumuman ini telah menghangatkan semula isu hudud sehingga mendorong pemimpin Umno seperti Datuk Mohd Zaid Ibrahim bertindak. 

Memberi respon terhadap pengumuman oleh Pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang itu, Datuk Mohd Zaid Ibrahim pada 16 Oktober 2003 telah membuat satu kenyataan untuk menggesa Kerajaan PAS Terengganu supaya tidak mewartakan enakmen jenayah syariah itu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 terlebih dahulu. Lanjutan dari itu, pada 22 Oktober 2003, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dilaporkan mengemukakan satu lagi permohonan ke mahkamah untuk menghalang undang-undang jenayah syariah dari dilaksanakan di Terengganu. Menyokong usaha Datuk Mohd Zaid Ibrahim ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 27 Oktober 2003 telah memberi amaran bahawa Kerajaan PAS Terengganu akan dikenakan tindakan jika melaksanakan enakmen tersebut yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: