15 Oktober 2016

15 Oktober 1961 : PAS Adakan Mesyuarat Agung Khas Bincang Penubuhan 'Melayu Raya'

Pada hari ini dalam tahun 1961, PAS telah mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi membincangkan isu penubuhan Melayu Raya yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Perdana Menteri Tanah Melayu itu membuat cadangan tersebut di dalam satu majlis bersama media di Singapura pada 27 Mei 1961. Tujuan utama cadangan penubuhan negara baru yang mencantumkan wilayah-wilayah jajahan British ini adalah untuk menangani pengaruh komunis, mengimbangi kaum, mengukuhkan ekonomi dan mempercepatkan kemerdekaan wilayah British.

Cadangan Tunku Abdul Rahman Putra ini adalah untuk menubuhkan sebuah negara baru, Melayu Raya dengan menggabungkan Tanah Melayu yang telah merdeka dengan Brunei, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura. Cadangan Perdana Menteri itu mendapat reaksi yang berbeza-beza terutama bagi negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Walaupun secara umumnya cadangan ini diterima oleh rakyat dari wilayah-wilayah tersebut, namun Tanah Melayu menghadapi tekanan politik dengan kempen "Ganyang Malaysia" oleh Indonesia dan tuntutan ke atas Sabah oleh Presiden Macapagal dari Filipina. PAS sendiri sebagai pembangkang terbesar belum mempunyai pendirian dalam soal ini.

Pada 26-28 September 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan tentang sikap PAS dalam soal ini. PAS telah memutuskan supaya pendirian PAS ditentukan oleh Mesyuarat Agung Khas PAS. Satu Mesyuarat Agung Khas PAS akan diadakan di Kuala Lumpur dalam bulan Oktober 1961. Jawatankuasa Kerja Agung PAS juga telah memutuskan supaya satu kertas kerja tentang cadangan Melayu Raya dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Khas itu, di mana Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad akan mengemukakan kertas tersebut. Mesyuarat Agung Khas PAS itu kemudiannya dipercepatkan kepada 15 Oktober 1961 ekoran persidangan Parlimen yang akan berlangsung pada 16 Oktober 1961. Perdana Menteri dijangka pada 16 Oktober 1961 itu akan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1961 bagi membolehkan Melayu Raya ditubuhkan.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 itu, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Ucapan Dasarnya telah menghuraikan tentang sejarah dan konsep Melayu Raya serta perjuangan beliau dalam mewujudkan Melayu Raya yang mencantumkan seluruh Alam Melayu sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Prof Zulkifli Mohamad pula dalam kertas kerjanya menghuraikan tentang ancaman ke atas orang Melayu dengan penubuhan Melayu Raya cadangan Tunku Abdul Rahman Putra ini. Beliau menjelaskan bahawa orang bukan Melayu dari Singapura berjumlah 1,384,100 bersama 500,000 lagi dari Borneo Utara, Brunei dan Sarawak akan menjadi rakyat negara ini, sedangkan orang Melayu dari wilayah-wilayah tersebut hanya berjumlah sekitar 977,300 orang sahaja. Menurut beliau, "Melayu akan tenggelam" kerana jumlah orang Melayu nanti hanya seramai 3.2 juta orang, sedangkan orang bukan Melayu berjumlah 4.7 juta orang.

Mesyuarat Agung Khas PAS itu telah menolak cadangan percantuman Tanah Melayu dengan Singapura sahaja, tetapi bersetuju supaya Tanah Melayu turut bercantum dengan Borneo Utara, Brunei, Sarawak dan Singapura. Dalam membahaskan percantuman yang kedua ini, Mesyuarat Agung Khas PAS telah bersetuju supaya Indonesia, Filipina dan kepulauan-kepulauan Melayu yang lain turut menyertai percantuman ini.

Ekoran keputusan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 ini, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy yang mengemukakan satu usul persendirian pada 16 Oktober 1961 di Dewan Rakyat bagi meminda usul Perdana Menteri untuk memasukkan Indonesia, Filipina dan Kepulauan Melayu dalam usul penubuhan Malaysia. Kerana usul ini telah ditolak, pada 1 Mei 1962, Yang Dipertua Agung PAS itu sekali lagi mengemukakan usul di Dewan Rakyat berkait penubuhan Malaysia yang berbunyi "hendaklah memasukkan di dalam rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina." Namun begitu usul ini juga ditolak dengan undian yang kemudiannya menyebabkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 tanpa penyertaan negara-negara tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: