20 Oktober 2016

20 Oktober 1987 : Mesyuarat Pertama Majlis Syura Ulamak PAS Memulakan Era Kepimpinan Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengadakan mesyuarat pertamanya sejak ia ditubuhkan dengan membuat beberapa keputusan penting berkait dasar dan perjawatan parti. Majlis Syura Ulamak PAS adalah institusi terbaru yang dibentuk oleh PAS selepas krisis kepemimpinan dalam tahun 1982. Institusi yang telah berusia 29 tahun ini menjadi rujukan dan pemutus segala dasar PAS supaya ia sentiasa mematuhi sumber-sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias, sekali gus membentuk institusi kepemimpinan ulamak secara rasmi dalam PAS.

Majlis Syura Ulamak PAS merupakan institusi kepada kepemimpinan ulamak dalam PAS telah ditubuhkan hasil dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang diterima oleh Muktamar PAS itu menghendaki PAS menginstitusikan kepemimpinan ulamak. Hasilnya, satu kajian untuk meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 telah dibuat bagi memperkasakan semula organisasi PAS dan pada 31 Ogos 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak dengan diketuai oleh seorang Mursyidul Am adalah bertanggungjawab mengawal dasar dan tatatertib parti, selain berkuasa menafsirkan Perlembagaan PAS. Cadangan ini telah diluluskan kemudiannya oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983.

Setelah cadangan pindaan ini diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29, pada 18 Mac 1987, Pendaftar Pertubuhan telah mengesahkan pindaan tersebut, sekali gus membolehkan PAS mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS. Pada 21 Jun 1987, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bersetuju supaya PAS menubuhkan segera Majlis Syura Ulamak PAS dan melantik empat orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Ustaz Haji Yusof Rawa, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad. Kemudian, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat telah melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak dan Ustaz Yahya Othman. Dengan perlantikan lapan daripada 12 orang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS ini, badan tertinggi PAS tersebut telah mulai boleh berfungsi menjalankan tugas-tugas yang digariskan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987.

Pada 20 Oktober 1987, Majlis Syura Ulamak PAS yang mempunyai lapan anggota ini telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Antara keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS ialah melarang PAS terlibat dengan perhimpunan perkauman dan asobiyah yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Keputusan ini adalah berkaitan pergeseran politik antara Umno dan MCA yang menyebabkan kedua-dua parti mengadakan perhimpunan perkauman, dan ia berakhir dengan penahanan 106 orang ahli politik di bawah ISA dalam Operasi Lalang. Umno sendiri yang sedang menghadapi perpecahan antara Team A pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dengan Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah masing-masing cuba menjuarai perjuangan kebangsaan Melayu.

Selain menetapkan dasar PAS berkait isu perkauman tersebut, mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS telah membuat tiga perlantikan iaitu:

I. Melantik empat lagi Ahli Majlis Syura Ulamak PAS terdiri daripada Ustaz Haji Harun Taib, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Idris Omar dan Ustaz Mohd Akhir Yaakub;
II. Melantik Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS; dan
III. Melantikan Jawatankuasa Tatatertib PAS yang terdiri daripada Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor sebagai pengerusi, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haji Wan Muttalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Ustaz Haji Hassan Shukri sebagai ahli-ahlinya.

Walaupun keseluruhan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS telah dilantik pada 20 Oktober 1987, namun perlantikan ini tidak melibatkan jawatan Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am PAS yang pertama, Ustaz Haji Yusof Rawa hanya dilantik pada 16 November 1987, iaitu dalam mesyuarat mereka yang kedua. Pada 30 Oktober 1988, Majlis Syura Ulamak PAS telah menerima perletakan jawatan oleh Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad, dengan Prof Dr Haji Haron Din telah dilantik menggantikan beliau. Paling menarik dalam mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS ini ialah kerana ia diadakan bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ke-40. Dan sehingga kini, beliaulah satu-satunya Ahli Majlis Syura Ulamak PAS yang kekal menduduki majlis tersebut selama 29 tahun berturut-turut.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: