07 Mac 2016

07 Mac 1974 : PAS Setuju Sertai BN Kerana Tidak Terikat Sebagai Satu Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju menerima Perlembagaan BN dan bersetuju PAS menyertai gabungan parti-parti tersebut setelah berjaya meletakkan PAS sebagai parti yang tidak terikat dengan BN. Menurut Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, BN bukannya sebuah 'pertubuhan' yang mengikat parti-parti anggotanya, sebaliknya ia adalah sebuah 'gabungan' berbentuk konfederasi di mana setiap parti anggotanya adalah bebas dan mempunyai identiti tersendiri.

Isu keterikatan PAS kepada rakan gabungan telah menjadi topik utama dalam penetapan hukum ketika pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1972. Kemudian, apabila BN dicadangkan dalam mesyuarat antara parti-parti yang menganggotai Kerajaan Campuran pada 17 Januari 1974, PAS telah bersetuju secara umum untuk menyertai kerjasama ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, tetapi tidak bersetuju dengan apa-apa syarat yang mengikat PAS, lebih-lebih lagi apabila Perlembagaan BN menyebut kerjasama BN ini sebagai 'pertubuhan' yang bermaksud semua parti meleburkan diri ke dalam BN.

Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 27 Januari 1974 telah menetapkan hukum harus PAS bekerjasama dengan BN dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai sebuah parti politik Islam. Pada 13 Februari 1974, Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS bersetuju supaya PAS meminda draf Perlembagaan BN dengan menukar istilah 'pertubuhan' kepada ' gabungan' untuk membolehkan PAS menyertai BN sebagai sebuah parti yang beridentiti sendiri dan tidak melebur dalam BN.

Pendirian Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7 Mac 1974 ini membolehkan penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN tanpa mengikat PAS secara mutlak. Tindakan PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974 kemudiannya telah mendapat pengesahan dari Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 kerana ketidakterikatan PAS dengan BN, dan sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974 atas nama BN dan menggunakan simbol Dacing.

Kerana sifat PAS yang tidak terikat dengan BN dan memiliki identiti sendiri ini, semua calon PAS berkewajipan memberi walak dan ketaatan kepada PAS, bukannya kepada BN. Pendirian PAS ini boleh dilihat dalam beberapa kes:

I. Pemecatan Dato' Mohamed Nasir pada 10 Oktober 1977 antara lain kerana Menteri Besar Kelantan itu menganggap dirinya Menteri Besar BN, bukannya Menteri Besar PAS sehingga beliau tidak mengikut arahan PAS;
II. PAS mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Dato' Mohamed Nasir di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977 kerana Menteri Besar itu tidak mentaati arahan PAS, sebaliknya mengikut telunjuk Umno;
III. PAS mengarahkan semua wakil rakyatnya meletakkan jawatan dari kerajaan pada 6 November 1977 kerana PAS menentang Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977 yang dikemukakan oleh Kerajaan BN;
IV. Keahlian Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Hassan Adli Mohd Arshad telah terlucut pada 8 November 1977 kerana menyokong Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977; dan
V. PAS membawa kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN menjadi kerusi PAS atas sifatnya yang tidak terikat dengan gabungan ini pada 13 Disember 1977.

Semua tindakan PAS ini tidak dianggap sebagai pengkhianatan PAS terhadap BN, kerana penyertaan PAS dalam BN adalah atas sifatnya yang tidak terikat, sebaliknya menjadi anggota gabungan yang bebas dan beridentiti sendiri.

Tiada ulasan: