04 Mac 2016

04 Mac 2002 : PAS Anjur Makan Malam Cari Dana Bantu Wakil Rakyat DAP Yang Digantung Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2002, PAS Kelantan telah menganjurkan satu Majlis Makan Malam Membantu Ahli Parlimen Batu Gajah untuk membantu wakil rakyat DAP yang telah digantung keahlian oleh Dewan Rakyat pada 12 Disember 2001. Majlis makan malam ini bertujuan mengumpul dana untuk membantu Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan yang telah digantung tanpa elaun selama enam bulan kerana mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail.

PAS telah mengadakan beberapa siri majlis pengumpulan dana untuk membantu ahli parlimen tersebut bermula dengan Majlis Jamuan Teh anjuran PAS Kawasan Ampang pada 2 Februari 2002, sebelum majlis makan malam di Kota Bharu ini. Majlis ini diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dengan kerjasama PAS Kota Bharu dan dihadiri oleh beberapa pemimpin PAS seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Haji Anuar Tan Abdullah, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Turut hadir ialah wakil DAP, Lim Kit Siang dan Fong Po Kuan, manakala PKN diwakili oleh Ahli Parlimen Peringat, Ustaz Mohamad Mustafa.

Isu ini tercetus ekoran tindakan Ahli Parlimen Batu Gajah itu mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kemudiannya menyebabkan satu usul tindakan tatatertib dikemukakan untuk menggantung keangotaan beliau selama enam bulan tanpa elaun. Usul ini dikatakan tidak mengikut Peraturan Dewan Rakyat kerana tidak mencukupi tempoh tujuh hari, tetapi ia dibenarkan oleh Tun Mohamad Zahir untuk dibentang, dan ia tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat terlebih dahulu. Keadaan ini menyebabkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu dianggap teraniaya.

Apa yang menarik dalam isu ini ialah tindakan PAS menganjurkan program-program untuk mengutip dana bagi membantu dan membela ahli parlimen DAP sehingga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa tindakan ini dibuat atas semangat mempertahankan keadilan dan kemanusiaan. Walhal sebelum ini, DAP merupakan sekutu PAS dalam Barisan Alternatif (BA) yang telah memutuskan hubungan dengan PAS dan keluar dari BA sejak 22 September 2001 kerana isu negara Islam. PAS sebaliknya mengambil sikap politik matang dengan tidak memusuhi ahli-ahli DAP, walaupun DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS. Penganjuran Majlis Makan Malam yang turut dihadiri oleh Mursyidul Am PAS pada 4 Mac 2002 ini adalah untuk membantu ahli DAP yang digantung selama enam bulan tanpa elaun di Parlimen tanpa menghiraukan status hubungan kedua-dua parti.

Tiada ulasan: