14 April 2016

14 April 1954 : PAS Lancar Gerakan Kembangkan Sayap PAS Di Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, PAS telah melancarkan satu gerakan besar-besaran untuk menggempur Kelantan sebagai pusat perkembangan pengaruhnya yang utama. Gerakan mengembangkan pengaruh PAS di Kelantan yang mendapat liputan Utusan Melayu pada 15 April 1954 ini adalah strategi utama yang dibuat oleh PAS sebagai persiapan untuk menyertai Pilihan Raya Umum 1955. Pada 27 Mac 1954, PAS telah memutuskan untuk terlibat dalam pilihan raya ini.

Langkah ini telah dikepalai oleh Pegawai Kewangan PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda yang diberi tanggungjawab membuat persiapan untuk bertanding di Kelantan. Perkembangan PAS di Kelantan telah bermula pada 9 September 1952 apabila Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol membuat penerangan tentang PAS di Pasir Puteh, diikuti majlis serupa di Pasir Mas pada 10 September 1952, termasuk taklimat kepada ulamak di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung. Setelah itu, para ulamak mula menyertai PAS sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953.

Pada 27 Mac 1954, ketika memutuskan untuk menyertai Pilihan Raya Umum 1955, PAS telah memberikan perhatian khusus untuk Kelantan sebagai prospek terbaik PAS pada masa hadapan. PAS telah melantik Mohd Asri dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Othman Abdullah sebagai Pegawai Penerangan Khusus untuk Kelantan. Mereka kemudiannya terus mengadakan siri-siri gerakan penerangan dengan dibantu oleh Ustaz Adam Kamil, Guru Jamik Merbau dari Pasir Puteh, di samping PAS Cawangan Pasir Mas dan Machang yang telah aktif ketika itu.

Antara tokoh-tokoh tempatan yang terlibat merintis perkembangan di Kelantan dalam gerakan penerangan ini ialah Mohd Daud Salleh (Ayah Ud), Tuan Guru Haji Ahmad Tok Kenali (Tok Bakok), Tok Imam Masjid Labok (Ustaz Man Beta), Tok Imam Haji Sulaiman Panji, Penghulu Harun Panji, Imam Masjid Langgar, Penggawa Gunung Timur, Ustaz Khaidir Khatib, Tuan Qadhi Bachok (Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad), Haji Ahmad Yatim Pasir Mas, Ustaz Awang Kemubu, Mohamad Awang Kuala Krai, Haji Nor Yusof Machang dan lain-lain. Peranan yang dimainkan oleh mereka telah berjaya menubuhkan Cawangan PAS di Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah dan Bachok sebelum Pilihan Raya Umum 1955. Gerakan penerangan yang dilancarkan pada 14 April 1954 ini bertujuan untuk meluaskan pengaruh PAS di Kelantan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1955 dengan menambahkan keahlian PAS dan menubuhkan cawangan-cawangan baru di Kelantan.

Gerakan penerangan ini telah diadakan di lebih 20 lokasi yang melibatkan lebih 20,000 rakyat Kelantan. Selepas gerakan ini berjaya menggempur Kelantan, pada 26 November 1954, Ustaz Mohd Asri telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Daerah Pantai Timur yang pertama meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Tiada ulasan: