06 April 2016

06 April 1953 : PAS Setuju Sertai 'National Conference' Perjuangkan Kemerdekaan Malaya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk PAS menyertai National Conference (NC) atas sebab mahu memperjuangkan kemerdekaan segera. Pendirian PAS ini adalah "memandang keadaan politik Malaya sekarang ini (1953), lebih-lebih oleh cita-cita bagi mencapai sebuah negara yang merdeka, serta memandang bagaimana mustahaknya semua orang yang mempunyai pengaruh politik dan badan-badan politik yang mewakili seluruh rakyat jelata dengan tidak mengira puak atau golongan bersatu dan berunding sama dalam satu barisan bagi mencapai cita-cita rakyat seluruhnya."

NC ialah sebuah gabungan politik yang didorong oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara dan Timur, Sir Malcom McDonald melalui Dato' Onn Jaafar untuk menyediakan kemerdekaan Malaya dengan perpaduan kaum. Pada 12 Februari 1953, 16 orang kenamaan termasuk tujuh orang Menteri Besar telah hadir dalam pertemuan untuk membentuk NC, termasuk Dato' Onn (IMP), Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P Narayanan (MTUC). Umno kemudiannya menarik diri atas faktor persaingan peribadi antara Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn.

Secara rasmi, NC dibentuk pada 27 April 1953 yang turut disertai oleh PAS, selain IMP, MCA, MIC, Malayan Ceylonese Association dan Malayan Eurasian Association, dengan dipengerusikan oleh Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Aziz, Menteri Besar Perak. Berasaskan peruntukan Undang-undang Tubuh PAS 1951 yang menyebut tujuan PAS ialah "bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan," maka Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju PAS menyertai pakatan politik ini setelah menerima jemputan pada 30 Mac 1953.

PAS menyifatkan penyertaannya dalam NC amat penting kerana ia dapat menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk persatuan semua pihak dalam perjuangan kemerdekaan. Yang lebih penting, NC telah menjadi pentas untuk PAS muncul di arena politik nasional dan membentuk kerjasama dengan orang bukan Islam kerana PAS adalah satu-satunya parti orang Melayu dalam NC. PAS yang menerima kritikan pelbagai pihak yang bimbang NC diperalatkan oleh penjajah, menegaskan bahawa PAS memperjuangkan kemerdekaan untuk mendaulatkan Islam dan berasaskan Islam.

Tiada ulasan: