27 April 2016

27 April 1953 : PAS Sertai Sidang Meja Bulat 'National Conference' Dengan Tuntutan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menyertai Sidang Meja Bulat National Conference yang ditaja oleh 16 orang terkemuka termasuk tujuh orang Menteri Besar yang bertujuan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 12 April 1953 dalam suratnya kepada Yang Dipertua Agung Umno dan Presiden MCA, menyatakan bahawa pendirian PAS untuk menyertai National Conference ini kerana yakin ia berkesan bagi mencapai kemerdekaan Malaya dan menegakkan sebuah negara demokrasi.

Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald dikatakan mempengaruhi Dato' Onn Jaafar untuk menubuhkan National Conference bagi menyatukan semua kaum sebagai asas kepada kemerdekaan. Pada 12 Februari 1953, satu perjumpaan parti-parti politik yang turut dihadiri oleh Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Umno, MCA dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC) bersama 16 orang terkemuka termasuk tujuh orang Menteri Besar telah diadakan. Perjumpaan ini berjaya mendapat persetujuan untuk menubuhkan National Conference, tetapi Umno menarik diri kerana tidak mahu tunduk kepada Dato' Onn. Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Aziz dilantik sebagai pengerusi.

Pada akhir Februari 1953, dalam mesyuarat kedua National Conference, Dato' Onn telah menolak penubuhan gabungan parti-parti politik menerusi National Conference kerana ia tidak menyelesaikan masalah. Persidangan ini sendiri menghadapi masalah kerana tiada parti Melayu yang menyokongnya ekoran penarikan diri oleh Umno, menyebabkan pada 30 Mac 1953, National Conference telah menjemput PAS untuk mewakili orang Melayu. Pada 6 April 1953, PAS telah bersetuju untuk menyertai National Conference sebagai satu strategi untuk menjadikan PAS parti yang bertaraf nasional. Pendekatan PAS ini adalah untuk mewujudkan perpaduan ke arah kemerdekaan.

Namun, menurut Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang, bahawa tujuan PAS menyertai National Conference adalah bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atas dasar Islam dan mempertahankan hak ketuanan Melayu. Atas sebab tersebut, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai Sidang Meja Bulat National Conference di Kuala Lumpur yang berjaya menubuhkan National Conference secara rasmi dengan disertai oleh IMP, MCA, MIC, PAS, Malayan Ceylonese Association dan Malayan Eurasian Association. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference dalam sidang ini, yang sekali gus mengiktiraf peranan PAS dalam kancah politik nasional.

Tiada ulasan: