10 April 2016

10 April 1955 : PAS Gubal Manifesto Pilihanraya Ke Arah Berkerajaan Sendiri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan Manifesto PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan diadakan pada 27 Julai 1955. PAS sebelumnya telah membentuk Jawatankuasa Pilihan Raya PAS pada 23 Januari 1955 yang dianggotai oleh Dr Haji Abbas Alias (Pengerusi), Abdul Hamid Shariff (Setiausaha), Cikgu Ahmad Awang, Haji Abdullah Akin, Ustaz Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Ustaz Abdul Wahab Noor, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dan Haji Mansor Hassan JP sebagai ahli-ahli yang bertanggungjawab mengendalikan penyertaan PAS pilihan raya yang pertama kali diadakan ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ini, PAS telah memutuskan untuk menjadikan 'Bulan Bintang' sebagai simbolnya, tetapi jika ditolak, PAS akan menggunakan simbol 'Bintang' sahaja. PAS Kelantan mencadangkan alternatif ketiga iaitu 'Tangan Terbuka' sebagai simbol PAS jika 'Bintang' juga ditolak. Akhirnya, PAS menggunakan simbol 'Tangan Terbuka' yang melambangkan keterbukaan PAS, sekali gus mewakili lima rukun Islam. PAS telah meletakkan 11 orang calon untuk kerusi Majlis Undangan Persekutuan, di mana PAS memenangi satu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dalam Pilihan Raya Umum Negeri yang diadakan kemudian, PAS meletakkan 20 calon untuk kerusi Majlis Undangan Negeri di seluruh Malaya.

PAS menyediakan Manifesto PAS 1955 sebagai tawaran kepada rakyat, khususnya dalam perjuangan kemerdekaan dengan meliputi bidang siasah (politik), iktisad (ekonomi), ketenteraan, pelajaran dan pendidikan serta kebajikan. Manifesto ini memberi fokus kepada tawaran-tawaran politik PAS dalam menghadapi kemerdekaan dan juga pembentukan pemerintahan ke arah berkerajaan sendiri. PAS menggariskan sembilan tawaran politiknya, iaitu:

I. Menyemak Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan kehendak rakyat;
II. Memastikan semua ahli Majlis Undangan Persekutuan, Negeri, Jajahan Selat dan Bandaran dipilih oleh rakyat;
III. Menghapuskan dasar pintu terbuka dan mengawal kemasukan imigran;
IV. Berusaha mencapai kemerdekaan secepat mungkin;
V. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia;
VI. Mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi;
VII. Mengakui kedaulatan Raja-raja Melayu yang berperlembagaan;
VIII. Memastikan setiap orang hanya mempunyai satu kerakyatan sahaja; dan
IX. Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan sehingga seluruh cita-cita Islam terlaksana.

Manifesto yang digubal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9-10 April 1955 ini akhirnya diterima pada 10 April 1955 dan disiarkan kepada umum sebagai tawaran PAS dalam Pilihan Raya Umum ini pada 30 April 1955.

Tiada ulasan: