07 Februari 2016

07 Februari 1996 : UMNO Dedah Pengkhianatan Kerjasama Semangat 46 Terhadap PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, PAS telah dikejutkan oleh pengesahan yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Mohamed Rahmat bahawa beberapa pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) telah bertemu dengan beliau dalam rangka mencari jalan untuk parti itu kembali bersatu dengan Umno. Pengesahan Setiausaha Agung Umno ini membuktikan PMS46 telah mengkhianati kerjasama yang dibentuk dengan PAS semenjak 1988.

Hubungan PAS-PMS46 telah mulai tergugat selepas Pilihan Raya Kecil Gua Musang pada 29 Ogos 1995 yang berlangsung serentak dengan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 25-27 Ogos 1995. Beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang diikuti oleh konflik dengan istana dan tindakan Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohd Rozali Isohak yang telah mengkritik Kerajaan Kelantan, telah menyebabkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Abdullah Arshad mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 supaya hubungan dengan PMS46 dibuat kajian secara menyeluruh kerana ia telah merugikan PAS.

Dalam pada itu juga, PMS46 terus memberi tekanan kepada PAS, termasuk bertindak memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Pada 5 Februari 1996, PMS46 telah menghantar wakil mereka berunding dengan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendesak PAS supaya sentiasa berunding dengan PMS46 dalam menyusun dasar-dasar baru kerajaan, menandatangani perjanjian rasmi dengan PMS46, mengagihkan kuota jawatan 60:40, melaksanakan hudud dan melantik mufti sebagai Exco Kerajaan.

PAS walau bagaimanapun melihat desakan PMS46 ini tidak berasas kerana mereka juga berasa dalam barisan Exco Kerajaan Kelantan yang sama-sama berunding dan memutuskan dasar-dasar kerajaan. Semua pandangan PMS46 kepada kerajaan boleh disalurkan melalui Mesyuarat Exco.

Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah pula pada 10 Februari 1996 telah menyatakan kesediaan mereka untuk kembali kepada Umno ekoran kenyataan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamed pada 8 Februari 1996 bahawa Umno bersedia menerima semula PMS46. Dengan pengakuan Setiausaha Agung Umno pada 7 Februari 1996 bahawa PMS46 berhasrat untuk kembali kepada Umno, Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS pada 12 Februari 1996 telah mengkaji semula hubungan dengan PMS46 dan memutuskan untuk mengukuhkan Kerajaan Kelantan dengan meningkatkan Perlaksanaan Islam, membuka pintu keahlian kepada ahli-ahli PMS46, menyerahkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. PAS kemudiannya, pada 14 Julai 1996 memutuskan secara rasmi hubungan dengan PMS46.

Tiada ulasan: