02 Februari 2016

02 Februari 1991 : PAS Tegaskan Hudud Di Kelantan Dilaksana Secara Berperingkat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan hukum hudud secara serta-merta, sebaliknya undang-undang syariat itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan hal demikian ekoran kritikan daripada pemimpin Umno dan juga oleh sesetengah pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dan PAS tidak mampu mentadbir.

Beberapa pemimpin PAS seperti Cikgu Musa Saleh, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dan Ustaz Omar Khalid, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Besut telah mengkritik Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mereka sebagai gagal melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran, mengutamakan hal-hal yang kecil dan tidak mampu mentadbir kerajaan. Bagi mereka perlaksanaan Undang-undang jenayah syariah mesti diberikan keutamaan berbanding perkara lain yang mereka anggap remeh.

Bertolak dari kritikan-kritikan ini, kedua-dua pemimpin PAS ini telah keluar parti di mana Ustaz Omar Khalid telah menyertai Umno, manakala Cikgu Musa Saleh pula menubuhkan parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1994.

Di sebalik kritikan-kritikan ini, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak sebagai mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat Kelantan pada 6 April 1991, supaya syariat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan undang-undang keluarga, diikuti oleh undang-undang pusaka, kontak dan tanah sehinggalah undang-undang jenayah. Untuk maksud inilah, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak melarang wanita bekerja malam dan menyertai musabaqah al-Quran, mengharamkan premis judi, memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk wanita, arahan menutup aurat, memperkenalkan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan, mengharamkan makyong, menora dan wayang kulit, memindahkan wang kerajaan ke Bank Islam dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, PAS menerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyediakan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan pada 17 Mac 1991 sebagai persiapan melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya pada 31 Mei 1991 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 telah mempertegaskan bahawa perlaksanaan syariat di Kelantan akan dibuat secara tersusun dan berperingkat-peringkat mengikut perancangan dengan tidak mengenepikan aspek pembangunan, prinsip keadilan dan program-program yang dijanjikan dalam manifesto PAS.

Untuk maksud tersebut juga, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, sebelum ia diseminarkan dalam satu seminar anjuran Semangat 46 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1993. Pada 24 November 1993 ia dibentangkan di DUN Kelantan dan diluluskan sebagai undang-undang pada 25 November 1993. Pendekatan pentadbiran dan Perlaksanaan Islam yang diamalkan di Kelantan inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 sebagai melaksanakan syariat secara berperingkat-peringkat.

Tiada ulasan: