03 Februari 2016

03 Februari 1982 : PAS Gubal Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan sebuah undang-undang kecil di bawah Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang dikenali sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982 yang bertujuan untuk mengawal pemilihan calon-calon PAS dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Umum Keenam yang dijangka berlangsung pada Mac atau April 1982. Aturan dan peraturan ini pada asalnya dikemukakan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat ekoran daripada masalah disiplin calon-calon dan wakil rakyat PAS yang berbangkit semenjak 1969.

Isu disiplin wakil rakyat yang tidak menghormati tatatertib parti ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969 di mana ada wakil rakyat PAS yang melompat parti dengan menyertai parti lain selepas memenangi pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, terdapat pimpinan PAS yang bertanding sebagai calon Bebas. Selepas 1974 pula, terdapat wakil rakyat PAS yang memberi walak kepada rakan pakatan PAS dalam BN. Tidak kurang juga terdapat wakil rakyat yang mengkritik parti sendiri dalam krisis politiknya Kelantan pada 1977.

Sedangkan, dalam pilihan raya 1978, terdapat pemimpin PAS yang telah digugurkan sebagai calon telah bertindak menggunakan kedudukan dalam parti dan hubungan peribadi dengan pemimpin tertentu untuk terus menjadi calon walaupun ditolak oleh parti dan juga rakyat. Di Kelantan, faktor ini dikatakan menjadi sebab utama kekalahan PAS pada 1978 sehingga kehilangan kerajaan, selain kerana perpecahan dengan Berjasa.

Bertolak daripada masalah ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah membuat satu memorandum berkait masalah calon, manakala Dewan Ulamak PAS Kedah pula menyediakan satu kertas kerja berkait isu yang sama pada 1981. Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengangkat memorandum kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan sokongan Dewan Pemuda PAS Pusat. Sesetengah pemerhati politik berpendapat bahawa isu pemilihan calon ini timbul kerana adanya usaha untuk menyekat pengaruh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda setelah beliau membuat lantikan parti untuk sesi 1981-1983 tanpa disyurakan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Ekoran daripada memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 November 1981 telah bergeser kerana Dato' Mohd Asri tidak bersetuju dan mahu menyerahkan urusan calon kepada Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya PAS Pusat. Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat keputusan untuk membentuk Jawatankuasa Kecil bagi mengkaji memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat supaya ia dijadikan Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS.

Jawatankuasa Kecil ini dianggotai oleh Pak Yusof Rawa (Pengerusi), Ustaz Fadzil Mohd Noor (Timbalan Pengerusi), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Ismail Ibrahim dan Dato' Abu Bakar Umar sebagai ahli-ahli. Setelah memorandum ini disusun semula dan digubal sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982, ia telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS Pusat pada 3 Februari 1982 dan menjadi panduan pemilihan calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum pada 22 April 1982. PAS meletakkan 82 calon daripada 114 kerusi Parlimen dan 223 calon daripada 278 kerusi DUN di Semenanjung.

Tiada ulasan: