16 Februari 2016

16 Februari 1995 : Parti Serpihan Timbul Hasil Tidak Puas Hati Sebilangan Pimpinan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1995, bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh, Cikgu Musa Salleh telah mendaftarkan parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebagai sebuah parti serpihan PAS kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan tidak melaksanakan hudud dengan segera. Semenjak awal 1991, beberapa pimpinan PAS dari kelompok ini telah mempersoalkan kewibawaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan kerana kononnya lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dalam pentadbiran daripada melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 telah mempertegaskan bahawa hudud akan dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat-peringkat, bukannya dengan tergesa-gesa. Dalam pada itu, pada 7 November 1992, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah berjaya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS, sebelum ia dibentangkan di DUN Kelantan pada 24 November 1993. Walau bagaimanapun Cikgu Musa mendakwa PAS tidak mampu mentadbir secara Islam kerana kegagalan menyegerakan perlaksanaan hudud ini.

Ekoran dari rasa tidak puas hati dengan pendekatan bertahap yang dibuat oleh Kerajaan PAS dalam perlaksanaan hukum jenayah syariah ini, pada 5 Februari 1992, Cikgu Musa yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh telah bertindak keluar dari PAS, tetapi gagal menarik ahli-ahli PAS bersama beliau. Pada 13 Julai 1994 beliau mengumumkan penubuhan parti baru serpihan PAS, AKIM yang hanya disertai oleh ahli-ahli keluarga dan pengikut tegarnya sahaja.

AKIM yang hanya berjaya didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 16 Februari 1995 telah dipimpin oleh Cikgu Musa (1995-1998), Mohd Din Nizam Din (1998-1999), Muhammad Yusof (1999-2002), Hanafi Mamat (2002-2009) dan Zakaria Salleh (2009-2010). Pada 15 Disember 2010, parti ini telah diambil alih oleh kumpulan serpihan PKR yang diketuai oleh Dato' Zaid Ibrahim, bekas Naib Presiden PKR, lalu ditukar nama kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

KITA yang dilancarkan secara rasmi oleh Dato' Zaid pada 19 Januari 2011 di Kuala Lumpur tidak pernah aktif, sehinggalah muncul kenyataan Dato' Dr Mujahid Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Interim Gerakan Harapan Baru (GHB) yang disiarkan oleh The Malaysian Insider pada 31 Julai 2015, bahawa kumpulan serpihan PAS itu akan mengambil alih parti KITA dan menukar namanya kepada Democratic Islamic Party (DIP) pada 31 Ogos 2015. Namun begitu, Setiausaha Pusat KITA, Azmi Othman telah menafikan tindakan GHB, kerana menurut semakan beliau di RoS pada 19 Ogos 2015 mendapati ada pihak yang telah memalsukan maklumat untuk mengambil alih KITA dan diserahkan kepada GHB. Satu laporan polis dibuat di Kajang kerana pemalsuan ini, dan GHB terpaksa mengambil alih Parti Pekerja Malaysia (PPM).

Tiada ulasan: