21 Februari 2016

21 Februari 1950 : Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Luluskan Lapan Resolusi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1950, Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya telah diadakan di Kelab Melayu Muar, Bandar Maharani, Johor dengan dianjurkan oleh Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Persidangan ini diadakan hasil dari desakan beberapa pihak termasuk Majlis Agama Islam Hilir Perak yang mahu isu-isu agama dirundingkan segera selepas runtuhnya gerakan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948.

Menyedari desakan ini, Jawatankuasa Kerja Agung Umno telah mengarahkan Bahagian Agama dan Pelajarannya supaya mengadakan persidangan ulamak yang melibatkan Cawangan-cawangan Bahagian Agama dan Pelajaran Umno, Majlis-majlis Agama, Jabatan-jabatan Agama serta pertubuhan-pertubuhan agama dari seluruh Malaya. Sebuah Jawatankuasa Perlaksana telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Haji Mohd Noah Omar dari Johor.

Persidangan ini kemudiannya disertai oleh perwakilan dari seluruh Malaya dan berlangsung selama dua hari iaitu pada 21-22 Februari 1950 dengan dibuka oleh Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar. Persidangan ini kemudiannya telah mengambil lapan ketetapan, yang terpenting ialah untuk "mengadakan majlis perhubungan mengandungi ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua majlis agama bagi merundingkan perkara-perkara agama yang mengenai orang Islam supaya perjalanan hal ehwal agama dapat disamakan di seluruh Tanah Melayu." Tujuh resolusi lain ialah berkaitan:

i. Penubuhan Kolej Islam Malaya;
ii. Pengurangan cukai haji dan penyediaan tempat layanan yang baik untuk jemaah haji;
iii. Penyelarasa tarikh permulaan puasa dan hari raya di seluruh Tanah Melayu;
iv. Mewujudkan kerjasama dengan Jam'iyatul Dakwatul Islamiyah bagi meluaskan seruan Islam;
v. Mewujudkan Jabatan Agama Islam di Pulau Pinang dan Melaka;
vi. Mewujudkan derma pelajaran tinggi agama bagi pelajar agama yang belajar di luar negeri; dan
vii. Mewujudkan sekolah agama petang di setiap Sekolah Melayu.

Kegagalan Umno melaksanakan seluruh resolusi ini kemudiannya menimbulkan desakan baru dari para ulamak sehingga Umno pada 30 Jun 1951 bersetuju menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur. Dalam persidangan kedua ini, para ulamak yang membincangkan isu penyelarasan pentadbiran agama, telah mengambil ketetapan untuk menubuhkan persatuannya sendiri setelah menyedari kegagalan Umno dalam membela agama, dan persatuan ini dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya yang terpisah daripada Umno. Pada 24 November 1951, persatuan ini dikenali sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Tiada ulasan: