11 Februari 2016

11 Februari 1985 : UMNO Gelisah Apabila PAS Dekati Kaum Cina

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, para pemimpin Umno di pelbagai peringkat telah memberikan respon yang bercampur-campur dan tidak kurang juga yang mengutuk tindakan PAS mendekati orang Cina sebagai strategi politik dakwahnya yang baru. Media massa sejak 12 Februari 1985 telah menyiarkan kritikan-kritikan sinis pemimpin Umno terhadap strategi baru PAS.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno ialah mengapa PAS mengadakan program di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan mendakwa bahawa tempat tersebut telah digunakan oleh orang Cina untuk program yang menghidangkan babi dan minuman keras. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd Najib Razak adalah antara yang lantang menuduh PAS tidak memperjuangkan agama, tetapi untuk kepentingan politik semata-mata.

Isu pendekatan baru PAS terhadap orang Cina ini timbul ekoran keputusan PAS pada 6 Oktober 1983 yang mahu PAS menganjurkan seminar untuk mendekati orang Cina. Strategi baru ini telah dibangkitkan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April-1 Mei 1983. Pada 15 Oktober 1984, PAS telah menjemput MCA berdialog, tetapi gagal kerana MCA meletakkan pelbagai syarat. Ekoran itu, Lajnah Mustad'afin PAS Setapak menganjurkan simposium bertajuk 'Islam dan Perpaduan Negara' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 10 Februari 1985.

Simposium ini mengemukakan empat kertas Kerja iaitu 'Islam Sebagai Kekuatan Penyatu Politik Keadilan' oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, 'Penyelesaian Islam Kepada Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Dr Jomo Kwame Sundram, 'Islam Sebagai Teras Pembangunan' oleh Dr Chandra Muzaffar dan 'Penyelesaian Islam Terhadap Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Ustaz Harun Taib. Ketika menutup simposium ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa orang Cina boleh menjadi pemimpin utama negara ini dengan syarat dia beragama Islam, warak dan mempunyai kelayakan sebagai pemimpin.

Bertolak dari simposium pada 10 Februari 1985 yang berjaya menjelaskan kekeliruan orang Cina terhadap Islam, maka para pemimpin Umno keesokkannya telah menyerang PAS dengan isu-isu perkauman dan agama yang sempit kerana bimbang pengaruh PAS terhadap orang bukan Melayu. Pemimpin Umno menyiarkan keterbukaan PAS menerima orang Cina sebagai pemimpin adalah tidak sesuai dengan keadaan politik negara.

PAS sendiri telah mengambil langkah mengukuhkan hubungan dengan orang Cina melalui seminar dan penerangan tentang Islam. Seminar-seminar dengan masyarakat Cina telah dibuat di Kuala Lumpur pada 5 Mei 1985, di Kota Bharu pada 26 Julai 1985 dan di Kuala Terengganu pada 14 September 1985 telah menimbulkan kritikan keras dari Umno. Akhirnya, PAS berjaya menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) pada awal 1986.

Tiada ulasan: