22 Februari 2016

22 Februari 1990 : Mahkamah Halang Penggunaan Nama PAS Oleh Kumpulan Islah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Kumpulan Islah dari menyalahgunakan perkataan "PAS" dalam program-program mereka. Kumpulan Islah adalah sebuah kumpulan serpihan PAS yang wujud semenjak awal 1989 ekoran strategi politik PAS membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46. Mereka menolak kerjasama ini kerana menganggap Umno adalah sebuah parti yang sesat, sedangkan PAS melihat Umno sebagai sasaran dakwah mereka.

Semenjak awal 1989, Kumpulan Islah telah menimbulkan masalah kepada PAS sehingga diberi amaran oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 26 Februari 1989, diikuti oleh campur tangan PAS Pusat pada 12 April 1989. Bahkan, ketika perlantikan Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan Sesi 1989-1991, mereka yang terlibat dengan kumpulan ini telah digugurkan.

Pada 7 Ogos 1989, satu muzakarah telah dibuat oleh Kumpulan Islah dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS di Rusila, tetapi gagal mengubah sikap mereka, sehingga akhirnya menjadi kes tatatertib parti pada 1 September 1989 dan diikuti oleh surat tunjuk sebab kepada mereka pada 5 November 1989. Pada 26 November 1989, tiga orang pemimpin Kumpulan Islah telah dipecat dari PAS, sebelum perlucutan semua jawatan oleh PAS Kelantan terhadap beberapa ahli PAS yang terlibat.

Sebagai tindak balas terhadap tindakan PAS, Kumpulan Islah telah mengadakan beberapa perhimpunan dan program atas nama PAS, tetapi untuk menyerang dan mengkritik PAS secara terbuka, kononnya atas nama islah (pembaikan) terhadap PAS. Antara program yang diatur oleh mereka ialah 'Seminar Panduan Dasar PAS' yang hendak dilangsungkan pada 23 Februari 1990.

PAS Pusat pada 18 Februari 1990 telah bersetuju supaya tindakan mahkamah diambil ke atas kumpulan serpihan yang menyalahgunakan simbol-simbol PAS seperti nama PAS, logo PAS dan juga nama pimpinan PAS yang telah mati untuk kepentingan politik mereka. Ekoran itu, PAS Kelantan telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu melalui peguamnya, Dato' Abdul Halim Mohamed bagi mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Kumpulan Islah menyalahgunakan nama PAS dalam program mereka.

Pada 22 Februari 1990, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Idris Yusof, telah mengeluarkan perintah untuk menghalang penggunaan nama PAS oleh Kumpulan Islah dalam semua kegiatannya. Setelah itu, Kumpulan Islah tidak dapat lagi menyalahgunakan nama PAS walaupun pada ketika tertentu mereka dikenali juga sebagai PAS 51.

Tiada ulasan: