15 Februari 2016

15 Februari 1989 : Haji Yusof Rawa Meletakkan Jawatan Yang Dipertua Agung PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Rawa telah meletakkan jawatan beliau sebagai pemimpin utama PAS yang dipegang sejak 23 Oktober 1982. Pengumuman perletakan jawatan yang dibuat di Pulau Pinang ini telah sekali gus membolehkan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memangku jawatan utama PAS tersebut.

Pak Yusof Rawa memaklumkan bahawa beliau bertindak demikian kerana keuzurannya, tetapi kekal sebagai Mursyidul Am PAS. Pak Yusof Rawa yang dilahirkan di Lebuh Aceh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922 telah mendapat pendidikan Sekolah Melayu sebelum memasuki sekolah Inggeris, Penang Free School dan akhirnya mengikuti pengajian agama di Mekah. Beliau yang mendapat Diploma Takhasus Deeni dari Maahad al-Falah, Mekah telah turut mendapat Diploma Perniagaan dari Bennete College, Sheffield, United Kingdom. Pada peringkat awal beliau terlibat dalam perniagaan di Mekah dan Mesir, sebelum mengambil alih perniagaan ayahnya di Pulau Pinang pada 1947, selain turut memberi khidmat sebagai Pengerusi Badan Tadbir Madrasah al-Mashoor. Beliau merupakan pengasas dan Bendahari Kehormat pertama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang pada 1952.

Pak Yusof Rawa yang telah terpengaruh dengan gerakan Ikhwanul Muslimun di Mekah telah menyertai PAS pada 1952. Pada 1959, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS beberapa kali antara1956 sehingga 1979.

Ketika krisis kepemimpinan PAS tercetus pada akhir 1970-an, Pak Yusof Rawa telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS (1979-1981), sebelum dipilih pula sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1981-1983). Ekoran perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982, beliau telah Pemangku jawatan tersebut. Pada 1983, beliau dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau meletakkan jawatan pada 15 Februari 1989.

Selain menjadi pemimpin utama PAS, Pak Yusof Rawa pernah mengejutkan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum 1969 apabila beliau mengalah Dr Mahathir Mohamed. Pada 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama, sebelum dihantar ke Tehran pada 1976 sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki sehingga 1979. Beliau yang pernah menjadi Konsulat Iraq di Pulau Pinang pada 1960-an dan Ketua Delagasi Malaysia ke Taiwan pada 1972, pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1973.

Pak Yusof Rawa juga terkenal kerana menerbitkan majalah reformis, al-Islah pada 1960-an dan 1970-an. Beliau juga telah menghasil Tafsir ar-Rawi Juz Amma, selain menulis buku-buku teks sekolah agama. Dengan segala pengalamannya, pada 10 November 1987 beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama sehingga 1994. Beliau yang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1992 telah memilih untuk terus istiqamah bersama perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya pada 28 April 2000.

Tiada ulasan: