26 Jun 2016

26 Jun 1977 : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bertukar Nama Menjadi Muktamar Tahunan PAS

Pada hari ini dalam tahun 1977, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mengeluarkan pemakluman kepada seluruh PAS Negeri tentang perubahan nama mesyuarat agung PAS dari Mesyuarat Agung Tahunan PAS kepada Muktamar Tahunan PAS yang akan diguna pakai mulai Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23-25 Julai 1977. Perubahan nama ini adalah lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976 yang menbuat pindaan terhadap Perlembagaan PAS. Pindaan ini kemudiannya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 21 Jun 1977.

Semenjak PAS ditubuhkan, PAS menggunakan nama mesyuarat agung untuk semua perhimpunan tahunannya iaitu mulai 1953. Sebelum itu, tiga perhimpunan ke arah menubuhkan PAS dikenali Persidangan Alim Ulamak iaitu pada 21-23 Februari 1950 di Muar dan 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur. Persidangan di Kuala Lumpur ini menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya dan persatuan ini mengadakan Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951 yang menukar nama persatuan ini kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya kali pertama pada 3 Januari 1953. Sejak itu, seluruh himpunan tahunan PAS dikenali sebagai Mesyuarat Agung Tahunan PAS.

Pindaan Perlembagaan PAS yang diluluskan pada 21 Jun 1977 iaitu sebulan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-23 yang dijadualkan pada 23-25 Julai 1977 telah membolehkan ia dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23. Turut terlibat dalam perubahan nama ini ialah Mesyuarat Agung Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat di peringkat Pusat dan Negeri. Namun begitu, mesyuarat agung tahunan di peringkat Kawasan, Dewan-dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan serta Cawangan kekal dikenali sebagai Mesyuarat Agung Tahunan.

Perubahan nama ini mempunyai kaitan dengan kesedaran Islam yang semakin meluas ketika ini di seluruh dunia. Penglibatan kepemimpinan PAS dalam beberapa persidangan Islam antarabangsa sepanjang 1970-an yang biasanya dikenali sebagai muktamar Islam, telah memberi inspirasi kepada PAS untuk menggunakan istilah yang lebih Islamik dalam organisasinya. Lebih ketara lagi, ekoran kemasukan pimpinan baru di kalangan ulamak haraki dalam kepemimpinan PAS mulai 1975 seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Nakhaie Ahmad dan lain-lain telah meluaskan pengaruh gerakan Islam dalam PAS. Ketika pindaan Perlembagaan PAS 1973 dibuat dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-22, cadangan untuk menukar perkataan Mesyuarat Agung kepada Muktamar telah diterima dan diluluskan.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-23 telah mencipta sejarah kerana inilah kali pertama ia dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS. Surat Setiausaha Agung PAS kepada Setiausaha-setiausaha PAS Negeri pada 26 Jun 1977 yang memaklumkan perubahan ini telah melakar sejarah baru mesyuarat agung PAS. Walaupun muktamar ini diadakan dalam suasana politik kepemimpinan PAS sedang berkrisis ekoran isu Dato' Mohamad Nasir di Kelantan, namun PAS tetap mempertegaskan komitmennya untuk menegakkan negara Islam dan PAS sanggup berpecah dengan BN jika gabungan parti-parti itu melanggar perjanjian dengan PAS. Sejak dari Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23 ini sehingga hari ini, persidangan tahunan PAS dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: