06 Jun 2016

06 Jun 1995 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Dicalonkan Sebagai Ketua Pembangkang

Pada hari ini dalam tahun 1995, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang telah dicalonkan oleh PAS sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen mewakili Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Ini adalah kali pertama pemimpin PAS dicalonkan semula sebagai Ketua Pembangkang selepas PAS menyertai kerajaan pada 1 Januari 1973. Dalam surat Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail pada 6 Jun 1995, PAS telah menamakan Ahli Parlimen Marang sebagai calon Ketua Pembangkang menggantikan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Kit Siang dari DAP.

Kegagalan DAP mempertahankan 20 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 1990 telah menjadikan kedudukan parti-parti pembangkang seimbang dengan DAP sembilan, PBS lapan, PMS46 tujuh dan PAS enam. PAS yang mempunyai kerjasama politik dengan PMS46 atas tiket APU menguasai 13 kerusi mengatasi DAP, sedangkan pemimpin PMS46 dilaporkan oleh media pada 6 Jun 1995 telah menarik diri dari jawatan Ketua Pembangkang, manakala PBS pula pada 18 Mei 1995 menyatakan sokongan supaya APU mengetuai pembangkang. PAS sendiri pada 4 Jun 1995, telah memaklumkan kepada Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah tentang cadangan pencalonan ini.

Semenjak pilihan raya diadakan pada 1955, jawatan ketua pembangkang wujud secara tidak rasmi sehingga pasca 13 Mei 1969. Pada mulanya jawatan "Mr Opposition" dipegang oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (1955-1959), kemudian PAS menyerahkan kepada pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Sir Onn Jaafar (1959-1962). Setelah kematian Dato' Onn pada 12 Januari 1962, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy mengetuai pembangkang sehingga 1964, sebelum pemimpin Parti Buruh (PB) yang mewakili Sosislis Front (SF), Dr Tan Chee Koon menjadi Mr Opposition sehingga 1969. Selepas tragedi 13 Mei 1969, kerajaan telah mewujudkan jawatan Ketua Pembangkang secara rasmi, dan parti-parti pembangkang bersetuju jawatan tersebut digilirkan antara parti-parti PAS, DAP dan SNAP, manakala Gerakan dan PPP telah menyertai kerajaan melalui Kerajaan Campuran di Pulau Pinang dan Perak.

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang pertama mulai 23 Februari 1971. Walau bagaimanapun, pada 1 Januari 1973, PAS telah menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan yang menyebabkan Dato' Mohd Asri dilantik sebagai menteri. Ekoran itu, mulai 17 April 1973, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengetuai pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1974. Selepas itu, pemimpin SNAP, James Wong Kim Min menjadi Ketua Pembangkang yang baru, tetapi beliau ditahan ISA pada 30 Oktober 1974 dan diganti oleh seorang lagi pemimpin SNAP, Edmund Langgu anak Saga sehingga 5 November 1975. Sejak itu, Lim Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum 1995. Dalam pilihan raya ini, DAP hanya memperoleh sembilan kerusi sahaja yang menyebabkan kedudukan mereka sebagai Ketua Pembangkang tergugat.

Ekoran adanya dua calon Ketua Pembangkang iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi (PAS) dan Lim Kit Siang (DAP), pada 7 Jun 1995, Speaker Dewan Rakyat telah mengarahkan 30 Ahli Parlimen Pembangkang membuat undian sulit sehingga 14 Jun 1995. Pada 15 Jun 1995, Lim Kit Siang diumumkan sebagai Ketua Pembangkang bagi penggal 1995-1999 setelah wakil rakyat PMS46 dan PBS turut mengundi calon DAP. Kegagalan PMS46 menyokong calon PAS merupakan detik awal perpecahan PAS-PMS46. PAS walau bagaimanapun berjaya mengambil semula jawatan Ketua Pembangkang apabila Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dilantik ke jawatan itu pada 1999, sebelum diganti oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi mulai 23 Jun 2002 hingga Pilihan Raya Umum 2004.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: