04 Jun 2016

04 Jun 1989 : PAS Kelantan Ambil Tindakan Terhadap Pimpinan Yang Menolak Pendirian Parti

Pada hari ini dalam tahun 1989, Dewan Harian PAS Kelantan telah mengambil keputusan untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pimpinan PAS Negeri dan juga Dewan Ulamak PAS Negeri yang menentang pendirian parti untuk mengadakan kerjasama politik dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. Setelah Umno berpecah pada 1988, PAS membuat strategi dengan menolak tawaran kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46 menerusi APU. Sebahagian pimpinan PAS Kelantan bersikap keras dengan menolak kerjasama dengan serpihan Umno yang dianggap seperti Umno juga.

Terdahulu, perubahan-perubahan politik yang berlaku telah mendorong PAS mengatur strategi politiknya dengan mewujudkan pakatan politik pembangkang. Pada 13 Julai 1986, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukakan sebuah kertas tentang tahaluf siyasi untuk mengalahkan BN, diikuti oleh kertas Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 9 Oktober 1989 tentang kedudukan tahaluf dalam politik Islam. Ekoran perpecahan Umno, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 9 Jun 1989 telah menyediakan sebuah kertas strategi untuk menawan Kelantan bertajuk 'Persefahaman Politik Dalam Pilihan Raya' yang mencadangkan pendekatan kerjasama dengan serpihan Umno untuk membolehkan PAS menguasai semula Kelantan.

Bertolak dari asas hukum dan strategi politik ini, PAS telah mengambil langkah mewujudkan hubungan politik dengan Semangat 46. Namun begitu, terdapat di kalangan pimpinan PAS Kelantan yang menentang pendekatan ini. Dalam laporan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Abdul Rahim Abdullah pada 12 November 1989, seluruh kegiatan menentang persefahaman politik PAS-APU di kalangan ahli-ahli PAS telah didedahkan. Sebagai tindakan ke atas kegiatan subversif dalam parti ini, Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 26 Februari 1989 mengarahkan pimpinan yang menentang kerjasama ini meletak jawatan, tetapi tidak berkesan.

Antara pimpinan utama yang terlibat ialah Ustaz Mawardi Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan), Ustaz Sabri Muhammad (Setiausaha Perhubungan), Ustaz Ismail Noh (Bendahari Perhubungan), Ustaz Mustapha Taib, Ismail Abdullah dan Ustaz Wan Daud Wan Jusoh (Ahli-ahli Perhubungan) serta Ustaz Mohd Nor Idris (Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan). Ekoran tindakan berterusan mereka menentang kerjasama ini, pada 24 April 1989, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bertindak untuk tidak melantik semula mereka dalam kepemimpinan PAS Kelantan bagi sesi 1989-1991. Beliau turut memberi amaran untuk bertindakan serupa terhadap Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Kelantan pada 31 Mei 1989. Bagi mewujudkan kesatuan fikrah dalam parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1990, pada 4 Jun 1989, PAS Kelantan mengambil sikap untuk bertegas terhadap anasir-anasir penentangan ini, sehingga akhirnya pada 26 September 1989 PAS terpaksa memecat keahlian sebahagian daripada mereka.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: