11 Jun 2016

11 Jun 1993 : PAS Pertegas Hasrat Untuk Melaksanakan Syariat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1993, Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan hasrat dan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum syariat, khususnya hudud di Kelantan jika PAS terus diberikan kepercayaan oleh rakyat. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar yang bertajuk "Pertahan Syakhsiyah Ummah" pada perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 di Markaz Tarbiyah PAS Pusat pada 11 Jun 1993. Muktamar yang berlangsung pada 11-13 Jun 1993 ini dijangka sebagai muktamar terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kesepuluh.

Sejak PAS memerintah Kelantan pada 21 Oktober 1990, PAS telah mewujudkan Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat pada 30 November 1990. Pada 26 Februari 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan telah merancang untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hudud, qisas dan takzir. Ekoran itu, pada 30 Mei 1991, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjelaskan bahawa kajian terhadap aspek teknikal untuk menggubal hukum syariat telah selesai dan akan dibentangkan di DUN Kelantan segera. Pada 18 Oktober 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertegaskan sikap kerajaan yang akan memberi keutamaan terhadap perlaksanaan undang-undang syariat mulai tahun 1992.

Di sebalik kesungguhan PAS berusaha melaksanakan undang-undang syariat, terdapat sesetengah pihak dalam PAS yang mengkritik kegagalan Kerajaan Kelantan menyegerakan perlaksanaan syariat. Sedangkan di luar PAS, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed pada 16 April 1992 menyatakan kesediaan untuk membenarkan Kelantan melaksanakan hudud sehingga menimbulkan kemarahan parti Gerakan. Keadaan ini telah menimbulkan polemik dan perbincangan panjang tentang hukum syariah, termasuk ada pihak yang menuduh PAS tidak serius melaksanakan syariat dan menjadikannya isu politik.

Ekoran itu, Presiden PAS dalam ucapan dasarnya pada 14 Ogos 1992 menjelaskan, "Pihak yang takut dengan perlaksanaan undang-undang Islam ini telah memutarbelitkan bahawa perlaksanaan hudud yang kita rancang telah dianggap sebagai permainan politik. Tidaklah perlu kita mempedulikan sangat tuduhan-tuduhan sumbang seperti itu kerana perlaksanaan syariat Islam termasuk hudud adalah dasar yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama. Bahkan di dalam manifesto pilihan raya PAS 1990 yang lalu telah pun diterangkan begitu jelas hasrat untuk melaksanakan hukum Allah ini." Bahkan, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-38 pada 14-16 Ogos 1992 meluluskan usul menyokong Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Pada 7 November 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, tetapi belum dapat dikemukakan ke sidang DUN Kelantan pada November 1992, Januari 1993 dan Jun 1993. Bagi merungkai kegusaran umat Islam di atas dakwaan pelbagai pihak bahawa PAS bermain politik dalam soal perlaksanaan hukum syariat ini, pada 11 Jun 1993, Presiden PAS telah mempertegaskan dalam ucapan dasarnya tentang hasrat PAS melaksanakan syariat. "Apa yang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan ialah perlaksanaan perundangan Islam, hudud adalah sebahagian daripadanya. Insya Allah ia akan menjadi kenyataan. Dan apabila ia terlaksana nanti, ia adalah hasil penyertaan kita dalam pilihan raya." Akhirnya, pada 23 November 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 telah berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: