22 Jun 2016

22 Jun 1999 : PAS Kelantan Tidak Terancam Walaupun Tengku Razaliegh Pimpin UMNO Kelantan

Pada hari ini dalam tahun 1999, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap perlantikan bekas Presiden PMS46, Tengku Rezaliegh Hamzah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan bukanlah satu ancaman besar kepada PAS, khususnya Kerajaan PAS Kelantan setelah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berpecah ekoran pembubaran PMS46 pada 18 Ogos 1996. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno melantik Tengku Razaliegh sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dalam usaha mereka merampas Kelantan dari PAS pasca Angkatan.

PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan pada 21 Oktober 1990 hasil kerjasama politik PAS-Angkatan. Angkatan adalah gabungan parti-parti PMS46, Berjasa, Hamim dan Kimma yang dibentuk pada 1989. Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 1995, hubungan PAS dan PMS46 mulai retak dan pemimpin serpihan Umno itu membubarkan parti mereka pada 18 Ogos 1996, sedangkan PAS mengekalkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. Pada 2 September 1998, Perdana Menteri telah bertindak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan diikuti oleh pemecatan beliau dari Umno sehingga berlaku gerakan Reformasi dan penubuhan Majlis Gerakan Rakyat Malaysia (GERAK) pada 22 September 1998 yang dipimpin oleh PAS. Melihat perubahan politik ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 20 Jun 1999 telah mengumumkan perlantik Tengku Razaliegh sebagai Ketua Umno Kelantan.

Tengku Razaliegh Hamzah atau lebih terkenal dengan panggilan Ku Li merupakan kerabat diraja Kelantan yang terkenal kerana peranan beliau merampas semula Kelantan dari tangan PAS pada 1978. Sejak pulang dari England pada 1962, nama Ku Li telah menonjol dalam politik dan juga pembangunan ekonomi. Pada 1967, beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sehingga 1984. Dalam tempoh ini, dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan, beliau telah mencaturkan konflik dalam Kerajaan BN Kelantan yang dipimpin oleh PAS antara 1974 hingga akhir 1977. Pada 11 Mac 1978, BN berjaya menguasai Kelantan dengan strategi politik Ku Li. Walau bagaimanapun, pada 1988, beliau yang tewas dalam pemilihan Presiden Umno 1987 telah mula mendekati PAS sehingga terbentuk kerjasama PAS-Angkatan kemudiannya. Ku Li juga dikatakan arkitek yang menjatuhkan Umno di Kelantan pada 1990.

Umno melihat penyertaan semula Ku Li ke dalam Umno seperti yang diumumkan oleh Dr Mahathir pada 8 Jun 1996 dan kenyataan Ku Li pada 5 Julai 1999 tentang kesediaan membantu Umno menumbangkan PAS di Kelantan, sebagai peluang untuk mengulangi peristiwa 1978. Jika Ku Li boleh berperanan pada 1978 dan 1990 dalam mengubah kerajaan di Kelantan, Umno berharap Ku Li boleh mengulanginya pada Pilihan Raya Umum 1999. Di sebalik sikap optimis Umno melalui perlantikan Ku Li ini, pada 22 Jun 1999, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mempertegaskan bahawa kedudukan PAS tidak terancam dengan perlantikan Ku Li tersebut. Telahan Menteri Besar Kelantan itu benar kerana dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999, PAS menang besar di Kelantan apabila memenangi kesemua 41 kerusi yang ditandinginya.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: