07 Januari 2016

07 Januari 2001 : PAS Setuju Bermuzakarah Isu Perpaduan Nasional Dengan UMNO

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, akhbar Berita Minggu mendedahkan bahawa Lajnah Politik PAS Pusat telah bersetuju supaya parti itu mengadakan muzakarah dengan Umno dalam isu perpaduan nasional. Strategi yang dibuat oleh PAS ini adalah bagi membolehkan mereka membuat desakan yang lebih berkesan dalam menghadapi kezaliman Barisan Nasional (BN) terutama setelah pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.

Isu Datuk Seri Anwar yang tercetus pada September 1998 telah memberi kesan buruk kepada BN apabila PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1999 melalui gabungan politik Barisan Alternatif (BA). Ekoran itu, BN telah mengenakan tekanan politik ke atas PAS secara besar-besaran seperti halangan ceramah umum, pengurangan permit penerbitan Harakah, tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR), mengaitkan PAS dengan Kumpulan al-Ma'unah, rampasan royalti minyak, mengharamkan penggunaan perkataan Islam pada parti politik, mendakwa Ketua Pengarang Harakah di mahkamah dan lain-lain sehingga kegiatan politik pembangkang terjejas.

Marah terhadap kezaliman BN ini, dalam Pilihan Raya Kecil DUN Lunas pada 29 November 2000, rakyat telah menolak BN. Menyedari keadaan ini, Dr Mahathir telah mengubah strategi dengan menawarkan perundingan kepada PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 24 Disember 2000, dan para pemimpin PAS menunjukkan sikap yang positif terhadap tawaran Umno jika parti itu 'benar-benar ikhlas'. Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Umno turut bersetuju dengan cadangan Dr Mahathir, tetapi PKN pada 8 Januari 2001 telah menolak pelawaan Umno.

PAS sebaliknya, pada 7 Januari 2001 telah dilaporkan oleh media massa bahawa ia telah bersetuju untuk bermuzakarah dengan Umno dalam isu perpaduan nasional. Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor mempertegaskan ia bukan untuk bersatu dengan Umno, tetapi untuk berdakwah kepada Umno. PAS pada 14 Februari 2001 kemudiannya menetapkan untuk memasukkan isu-isu kepincangan sistem kehakiman, pencabulan demokrasi, kemelesetan ekonomi dan peningkatan peranan Islam sebagai agenda muzakarah ini. Jawatankuasa Bersama Muzakarah PAS-Ummo bagaimanapun gagal menyelaraskan isu-isu yang dikemukakan oleh PAS kerana Umno tidak serius. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 18 Februari 2001 telah menangguhkan muzakarah ini kerana kegagalan jawatankuasa bersama tersebut.

Tiada ulasan: