01 Januari 2016

01 Januari 1973 : Pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1973, PAS telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pembentukan kerajaan campuran ini adalah bertitik tolak daripada Tragedi 13 Mei 1969, yang menyebabkan kekacauan politik dan terjejasnya kuasa politik Melayu Islam di negara ini. Atas faktor tersebut, PAS telah menerima jemputan Kerajaan MAGERAN untuk menyertai Jawatankuasa Perpaduan dan Jawatankuasa Muhibbah sehingga penggantungan aktiviti politik ditamatkan pada 8 Ogos 1970.

Pada 18 Disember 1970, Menteri Muda Penerangan, Abdul Samad Idris telah mencadangkan supaya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Perikatan demi kepentingan politik Melayu Islam, sekaligus mendapat reaksi positif para pemimpin politik dan orang-orang Melayu.

PAS telah mengambil langkah mengkaji cadangan ini. Ia bermula dengan usaha PAS Kelantan dalam mengemukakan kertas kerja bertajuk "Kerajaan Campuran PAS-Perikatan" pada 22 Julai 1972, yang diikuti oleh penerimaan di peringkat Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda juga memberikan reaksi positif terhadap percampuran ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 28 dan 29 Julai 1972. Mesyuarat agung ini kemudiannya memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk mengkaji pembentukan kerajaan campuran yang dimaksudkan.

Jika dilihat daripada awal, Rundingan PAS-Perikatan telah bermula sejak 16 Ogos 1972, dengan berberapa syarat ketat yang dikemukakan oleh PAS, bermatlamat agar ia menguntungkan Islam dan tidak menjejaskan dasar perjuangan PAS itu sendiri. Dewan Ulamak PAS Pusat (atas arahan Jawatankuasa Agung PAS) telah membentuk Jawatankuasa Tarjih bagi mengkaji kedudukan percampuran ini dari sudut hukum syarak, sehingga membawa kepada Perjumpaan Ulamak-ulamak PAS pada 14 Disember 1972 yang akhirnya, mengharuskan kerajaan campuran ini.

Pada 22 Disember 1972, PAS Pusat telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS untuk mendapat mandat percampuran ini. Akhirnya, pada 28 Disember 1972, Yang Dipertua Agung PAS bersama Pengerusi Perikatan, Tun Abdul Razak Hussein telah mengumumkan pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan melibatkan Kerajaan Pusat serta berberapa kerajaan negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah bermula 1 Januari 1973.

Tiada ulasan: