15 Januari 2016

15 Januari 1976 : PAS Tuntut Peranan Islam Lebih Besar Dalam Kerajaan BN Pasca Era Tun Razak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil pendirian supaya PAS menuntut peranan yang lebih besar dalam Kerajaan BN bagi memelihara kedudukannya dalam pakatan politik yang dibentuk pasca 13 Mei 1969 itu. Tuntutan PAS ini adalah satu usaha untuk meningkatkan peranan Islam dalam kerajaan selepas kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976.

Antara tuntutan penting PAS ialah supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua diberi kepada PAS, selain tambahan jawatan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen. PAS turut menolak cadangan perlantikan Ghafar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya mencadangkan supaya Datuk Ghazali Shafie dilantik ke jawatan tersebut.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Mei 1976 selanjutnya mengambil ketetapan supaya PAS mengubah strategi dakwahnya dalam kerajaan pimpinan Datuk Hussein Onn dengan meningkatkan usaha yang lebih berkesan untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara ke tahap paling maksimum - iaitu untuk memenuhi tujuan utama penyertaan PAS dalam BN sebelumnya.

Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Mohd Asri Haji Muda turut mempertegaskan tuntutan PAS supaya Perdana Menteri memperkenalkan Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976 itu, Datuk Mohd Asri turut mempertegaskan cita-cita PAS untuk menegakkan negara Islam.

Hasil dari desakan ini, PAS bukan sahaja mendapat tambahan kerusi dalam kabinet, tetapi juga dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam kerajaan. Bahkan dalam persidangan undang-undang pada 25-27 Julai 1976, Datuk Mohd Asri telah mencadangkan supaya Akta Undang-undang Sivil dipinda bagi membolehkan undang-undang Islam dikembalikan ke tempat asalnya.

Tuntutan PAS pada 15 Januari 1976 supaya PAS lebih berperanan dalam kerajaan bukan semata-mata untuk meningkatkan peranan politik PAS, tetapi supaya Islam diangkat ke tempat sewajarnya dalam pemerintahan negara.

Tiada ulasan: