04 Januari 2016

04 Januari 1953 : Muzakarah Ulamak Se-Malaya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas bagi membincangkan 16 perkara khilafiah yang telah memecahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Perpecahan para ulamak semenjak awal abad ke-20 kerana isu-isu khilafiah telah berjaya disatukan semula oleh PAS pada 1951 apabila ulamak Kaum Muda dan Kaum Tua bersatu pendapat tentang tentang kewajipan memperjuangkan kemerdekaan dan menegakkan negara Islam. Kedua-dua aliran ini bersatu dalam PAS.

Namun begitu, penyatuan para ulamak telah mengancam musuh-musuh Islam, lalu isu-isu khilafiah seperti bilangan rakaat terawih, talkin, bacaan ushalli, cara bayaran zakat, bilangan jemaah solat Jumaat dan lain-lain dimainkan di media-media sehingga berlaku pergeseran di kalangan ulamak kedua-dua aliran ini.

Di dalam PAS sendiri, pertembungan ini berlaku di antara Sheikh Abdullah Fahim, Ketua Dewan Ulamak PAS yang juga Mufti Pulau Pinang yang mewakili Kaum Tua dengan Sheikh Ibrahim Aqibi, Ketua PAS Cawangan Pulau Pinang yang mewakili Kaum Muda dalam beberapa isu khilafiah. Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Haji Ghazali Abdullah turut berselisih pendapat dalam isu pihak ketiga menerima wang dari sumber yang haram dalam isu loteri MCA.

Menyelesaikan pergeseran yang merugikan umat ini, PAS telah menganjurkan Muzakarah Ulamak Se-Malaya untuk mempertemukan ulamak kedua-dua aliran ini dan menyelesaikan kekusutan yang berlaku. 16 perkara khilafiah telah disenaraikan untuk dimuzakarahkan.

Walau bagaimanapun, Muzakarah Ulamak Se-Malaya pada 4 Januari 1953 ini gagal mencapai objektif apabila ulamak Kaum Muda tidak menghadirinya, sebaliknya menganjurkan satu muzakarah yang lain di Chung Ling School, Pulau Pinang pada 2-3 Mei 1953, selain menerbitkan buku "Risalah Penebas Bid'ah di Kepala Batas" tulisan Sheikh Tahir Jalaluddin. Semenjak kegagalan muzakarah ini, ulamak Kaum Muda telah meminggirkan diri dari PAS sehingga kemasukan Dr Burhanuddin al-Helmy pada akhir 1956.

Tiada ulasan: