31 Januari 2016

31 Januari 1986 : UMNO Mahu Runding Dengan PAS Kurangkan Ketegangan Politik

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, Umno telah menyatakan kesediaan mereka untuk berunding dengan PAS pada bila-bila masa bagi mencari persefahaman demi kepentingan umat Islam di negara ini. Tawaran rundingan ini dibuat oleh Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim sebagai reaksi terhadap ketegangan politik antara PAS dan Umno ketika itu.

Ketegangan ini berlaku sejak kegagalan Debat PAS-Umno pada akhir 1984, yang menyebabkan isu adalah Malaysia sebuah Negara Islam tidak dapat diselesaikan. Pada 22-23 September 1985, YADIM telah menganjurkan Muktamar Tentang Konsep Negara Islam yang telah merumuskan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

Sedangkan pada 6 Oktober 1985, PAS pula menganjurkan Simposium Negara Islam. Ketika merasmikan simposium ini, Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa telah mempersoalkan resolusi muktamar anjuran YADIM tersebut. Simposium ini kemudiannya menolak anggapan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

Pada 19 November 1985, tercetus Tragedi Memali yang menimbulkan isu adakah Ustaz Ibrahim Libya syahid atau sebaliknya. Majlis Fatwa Kedah dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan tidak syahid atas alasan Malaysia adalah Negara Islam. Pimpinan PAS yang menganggap Malaysia bukan Negara Islam, berpegang sebaliknya. Manakala pemimpin Umno pula mengaitkan ketegangan ini dengan Amanat Haji Hadi, sehingga Dr Mahathir pada 30 Januari 1986 telah mengancam untuk mengambil tindakan ke atas ahli PAS.

Di sebalik ketegangan yang tidak boleh dijawab secara ilmiah oleh Umno ini, Ketua Pemuda Umno, Anwar Ibrahim telah membuka pintu rundingan kepada PAS pada 31 Januari 1986 untuk meredakan keadaan, walaupun Dr Mahathir sendiri tidak menunjukkan sikap yang positif. Namun, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 Februari 1986 telah menyatakan persetujuan untuk berunding dengan Umno bagi mencari titik kebenaran dalam isu ini.

Tiada ulasan: