23 Januari 2016

23 Januari 1980 : Pemimpin PAS Ditahan ISA Ekoran Bela Nasib Petani Dalam Isu Harga Padi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1980, 14 orang ahli PAS termasuk tiga pimpinan PAS Kedah telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menjadi dalang utama yang membawa kepada berlakunya demonstrasi isu harga padi di Alor Setar pada 19 Januari 1980. Tiga pemimpin PAS Kedah yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arshat (Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Setiausaha PAS Kedah), Ustaz Osman Marzuki (Setiausaha PAS Padang Terap) dan Solahuddin Mansur (Setiausaha Kerja PAS Kedah).

Isu harga padi ini telah timbul pada akhir 1979 ekoran dasar baru berkaitan subsidi padi dan sistem kopun yang diperkenal oleh Kerajaan BN. Para petani telah membangkitkan perkara berkait masalah pengangkutan untuk mengangkut padi dan juga operasi waktu pejabat yang menyulitkan urusan mereka.

PAS telah memainkan peranan penting untuk menggerakkan kesedaran petani untuk bertindak menuntut hak mereka, terutama menolak sistem kupon dan mendesak kenaikkan harga padi. Ekoran dari tekanan yang kuat ini, kerajaan terpaksa menghantar Menteri Pertanian, Dato' Shariff Ahmad, Menteri Perusahaan Awam, Dato' Abdul Manan Osman, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Nahar Shahabuddin dan Pengarah Lembaga Padi Negara (LPN), Dato' Mohamad Shafie untuk berunding dengan pemimpin persatuan petani.

Kemuncak kepada tindak balas petani ini, pada 19 Januari 1980, satu demonstrasi besar-besaran diadakan oleh petani padi di Wisma Negeri, Alor Setar hingga memaksa Ketua Polis Daerah Kota Setar mengeluarkan perintah berkurung pada 19 Januari 1980 untuk membendung kebangkitan petani. Akibatnya, pada 23 Januari 1980, 14 orang ahli PAS telah ditahan di bawah ISA atas pelbagai tuduhan termasuk membahayakan keselamatan negara dengan menghasut petani. Perintah berkurung ini telah ditamatkan pada 25 Januari 1980 setelah keadaan reda.

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda ketika menyampaikan Ucapan Dasar dalam Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980 kerana isu ISA ini, menjelaskan bahawa penahanan ini adalah satu usaha kerajaan untuk melumpuhkan kebangkitan Islam yang diperjuangkan oleh PAS setelah berlaku revolusi di Iran.

Tiada ulasan: