24 Januari 2016

24 Januari 2001 : Exco PAS Kelantan Ditarik Darjah Kebesaran Pertahan Isu Tanah Rakyat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, dua orang pimpinan PAS Kelantan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan telah ditarik balik surat tauliah dan darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra kepada mereka. Dua pemimpin PAS tersebut ialah Ustaz Mohamad Daud al-Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan dan Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Isu menarik balik pingat ini timbul ekoran tindakan Kerajaan Kelantan menolak permohonan pihak Istana Kelantan untuk menjadikan tanah di Bukit Camah (Gua Musang), Cabang Tongkat (Machang) dan Hutan Simpan Lebir (Gua Musang) sebagai 'living museum' dan pusat pengeluaran makanan Islam negara. Permohonan ini dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Hashim Wan Daud pada 8 April 1999 atas alasan untuk menghargai sumbangan Sultan-sultan Kelantan terdahulu.

Penolakan ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Kelantan sehingga baginda bertindak menarik balik pingat Setia Mahkota Kelantan dan pingat Ahli Setia Kelantan masing-masing daripada Ustaz Mohamad Iraq dan Takiyuddin Hassan. Dalam kenyataan pihak Istana Kelantan, penarikan ini adalah hak mutlak Sultan Kelantan tanpa diberitahu sebab. Sedangkan di kalangan ahli-ahli politik tersebar berita bahawa ia berkait dengan penolakan terhadap permohonan tanah oleh Istana.

Kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu dikatakan telah menentang pemberian tanah kepada Istana Kelantan dalam Mesyuarat Khas Exco Kerajaan pada 7 Januari 2001. Tetapi pihak Istana Kelantan menafikan tindakan tersebut berkait dengan isu permohonan tanah ini.

Sebagai tindak balas terhadap sikap Istana Kelantan, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar telah menyifat tindakan ini sebagai memalukan rakyat Kelantan kerana kedua-dua anggota Exco Kerajaan itu menjadi wira yang mempertahankan hak rakyat. Dalam pada itu juga, Takiyuddin selalu Penasihat Undang-undang PAS Kelantan telah mencadangkan pindaan Perkara 15 dan 39 Perkembangan Negeri Kelantan untuk menghadkan kuasa raja dalam urusan pentadbiran sahaja, selaras Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: