14 Ogos 2016

14 Ogos 1953 : PAS Sertai Persidangan Melayu Untuk Bincang Soal Pilihanraya Segera

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menyertai satu Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu yang dianjurkan oleh Umno untuk membincangkan isu tuntutan orang Melayu bagi diadakan pilihan raya segera. Persidangan yang diadakan di Ibu Pejabat Umno di Johor Bahru ini merupakan tindakan balas Umno terhadap usaha Dato' Onn Jaafar melalui National Conference yang menuntut supaya pilihan raya diadakan pada 1956. Melalui persidangan ini, Umno mengharapkan satu pendirian orang Melayu terhadap pilihan raya segera, kerana National Conference yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar dan Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab adalah turut melibatkan orang Cina, India, Cylonese dan Eurosian.

Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini asalnya adalah 'konflik peribadi' antara Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Dipertua Agung Umno dengan Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua Agung IMP selepas pengasas Umno itu keluar parti pada 26 Ogos 1951. Dato' Onn Jaafar telah mengambil langkah politik dengan menyatukan semua pertubuhan politik di bawah National Conference, sehingga ia mencabar kedudukan Umno. Dalam satu perbincangan antara Tunku Abdul Rahman dengan Dato' Dr Ismail Abdul Rahman, mereka bersepakat menganjurkan persidangan Melayu untuk memberi mesej kepada Dato' Onn Jaafar bahawa orang Melayu bersama Umno. Tujuan Umno adalah untuk menjadi induk kepada semua parti Melayu, sekali gus mengenepikan Dato' Onn Jaafar dan Dato' Panglima Bukit Gantang. Kerana itu, Umno menjemput semua pertubuhan Melayu menyertai persidangan ini.

Umno telah memanipulasikan isu tuntutan pilihan raya untuk menarik sokongan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan mencadangkan agar ia diadakan pada 1954. Sedangkan PAS sendiri pada 23 Mei 1953 telah bersetuju pilihan raya diadakan pada 1956, iaitu selaras dengan tuntutan National Conference. Pada 26 Jun 1953, PAS mengambil pendirian terbuka dengan bersedia menerima jemputan sesiapa sahaja termasuk Umno untuk membincangkan tentang tuntutan pilihan raya, seperti mana PAS menerima jemputan IMP. Atas pendirian ini, pada 25 Julai 1953, Tunku Abdul Rahman Putra telah menjemput PAS menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu.

Persidangan yang berlangsung pada 14 Ogos 1953 ini telah disertai oleh 10 pertubuhan Melayu iaitu Umno, PAS, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) A, PMS B, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK), Gabungan Persekutuan Pemuda Melayu Kelantan, Kesatuan Melayu Singapura (KMS), Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ), Kesatuan Melayu Johor (KMJ) dan Malay Graduate Association (MGA). Persidangan ini pada asasnya tiada sambutan, kecuali dua pertubuhan dari Kelantan dan PAS, sedangkan yang lain adalah dari Johor Bahru dan Singapura. Prof Ramlah Adam menyifatkan persatuan yang menyertai persidangan ini "adalah kecil, terpencil dan bersifat tempatan dan masih baru ditubuhkan" sehingga "kekuatan sokongan itu (kepada Umno ) tidak jelas."

PAS yang menghantar Yang Dipertua Agungnya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohamad Hanif sebagai wakil telah hadir hanya untuk bertukar-tukar fikiran dan memanfaatkan persidangan ini untuk melonjakkan kedudukan PAS dalam persada politik nasional. Yang lebih penting, Umno mula mengiktiraf PAS sebagai sebuah parti yang sama taraf dengan mereka. Ternyata persidangan ini telah gagal mengemukakan satu pandangan yang konkrit, melain sekadar membolehkan Umno mendakwa mereka mewakili orang-orang Melayu, walhal tiada pertubuhan Melayu yang hadir melainkan pertubuhan yang telah menjadi anggota gabungan Umno. Pada umumnya, persidangan Melayu pada 14 Ogos 1953 ini tidak membuat apa-apa keputusan, melainkan hanya bertukar-tukar fikiran sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: