21 Ogos 2016

21 Ogos 1988 : Persidangan Agung Perpaduan & Politik Islam Bincang Strategi Politik Baru Umat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1988, Dewan Pemuda PAS Pusat menganjurkan satu persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk membincangkan strategi baru politik umat Islam di negara ini. Perubahan politik yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum 1986 telah menyaksikan perpecahan Umno setelah parti kebangsaan sekular itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Pada asasnya PAS mempunyai pilihan sama bersama-sama Umno (Baru) pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau bersama Semangat 46 yang diketuai oleh Tengku Razaliegh Hamzah, kerana kedua-dua parti tinggalan mendiang Umno ini berminat membentuk kerjasama dengan PAS.

Yang Dipertua Agung PAS, Pak Yusof Rawa, dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-34 pada 9 April 1988 tidak memberi fokus kepada perubahan politik Umno ini, tetapi menggesa ahli-ahli PAS memperkukuhkan parti Islam ini sebagai hizbullah, kerana PAS adalah "golongan Islam tulen." PAS sebaliknya pada 2 Mei 1988 bersetuju membentuk kesepakatan politik dengan badan-badan Islam. Setelah melihat Team A Umno (Umno Baru) dan Team B Umno (Semangat 46) sangat sukar untuk bersatu kembali, Majlis Syura Ulamak PAS mengambil pendirian bahawa PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dengan syarat perpaduan dan kerjasama dibuat berlandaskan ajaran Islam.

Dalam konteks ini, berlaku pertembungan pandangan antara Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dengan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri. Ustaz Nakhaie Ahmad cenderung supaya PAS bersama-sama dengan Umno Baru, sedangkan Ustaz Hassan Shukri mahu PAS membentuk kesepakatan politik dengan Semangat 46. Pertembungan ini mengakibatkan kedua-dua tokoh PAS ini meletak jawatan. Pada 5 Mei 1988, Ustaz Hassan Shukri melepaskan semua jawatannya dalam parti, tetapi ditolak oleh PAS Pusat. Sebaliknya, cadangan Ustaz Nakhaie Ahmad sejak Januari 1988 supaya PAS bekerjasama dengan Umno Baru tidak diterima oleh pimpinan PAS Pusat yang menyebabkan beliau menarik balik cadangannya dalam Majlis Syura Ulamak PAS pada 4 Julai 1988, diikuti oleh perletakan semua jawatan beliau pada 20 Ogos 1988.

Di celah-celah konflik ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menganjurkan Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam pada 21 Ogos 1988 di mana dua Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membentangkan kertas kerja mereka. Ustaz Nakahie Ahmad membentangkan kertas bertajuk "Pendekatan Baru Politik Umat Islam Malaysia di Era Perubahan," di mana beliau mencadangkan supaya diadakan Perhimpunan Umat Melayu Kali Kedua untuk menghadapi perubahan politik setelah Umno diharamkan. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula membawa tajuk "Perpaduan Menurut Perspektif Islam: Satu Kupasan Dari Sudut Realiti dan Keperluan di Malaysia."

Walaupun persidangan ini tidak mengambil sebarang ketetapan yang menjadi pendirian PAS, namun begitu PAS mula mengambil langkah strategik dalam mendepani perubahan ini. Pada 18 September 1988, Lajnah Politik PAS Pusat telah bersetuju dengan cadangan Ustaz Hassan Shukri supaya PAS membentuk persepakatan politik dengan Semangat 46 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan yang dijangka pada 1990. PAS Pusat pada 9 Oktober 1988 kemudiannya mengesahkan cadangan Ustaz Hassan Shukri dan meluluskan cadangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk "Tahaluf" yang membolehkan PAS menjadikan kerjasama politik sebagai strategi terbaru PAS dalam menghadapi perubahan politik dan sekali gus membolehkan PAS menguasai Kelantan pada 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: