08 Ogos 2016

08 Ogos 1955 : Sheikh Taqiyuddin Qandil, Murabbi PAS Seru Bina Masyarakat Dengan Islam

Pada hari ini dalam tahun 1955, akhbar Warta Negara telah menyiarkan seruan tokoh Islam terkenal di utara Semenanjung Tanah Melayu, Sheikh Taqiyuddin Qandil supaya orang Melayu membina masyarakat dengan Islam. Sheikh Taqiyuddin Qandil yang juga Murabbi PAS dianggap antara tokoh pendakwah yang progresif pada dekad 1950-an terutama di Perlis dan Kedah di mana beliau sentiasa mengajak umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah untuk mengembalikan kemuliaan bangsa yang beragama Islam. Pemikiran dan perjuangan beliau amat bertentangan dengan arus perdana pemikiran bangsa Melayu pasca Perang Dunia Kedua yang cenderung sama ada untuk mempertahankan faham kebangsaan sekular yang liberal pro penjajah atau menganut faham sosialisme yang anti penjajah. Sedangkan beliau menyeru umat ini kembali kepada Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Sheikh Taqiyuddin Qandil sebenarnya berasal dari Kaherah, Mesir. Beliau terpaksa berhijrah ke Tanah Melayu dan mendapat suaka politik negara ini sejak 1950, ekoran peristiwa pembunuhan as-Syahid Ustaz Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949. Sheikh Taqiyuddin Qandil merupakan bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah dan pernah menjadi Pengarah Penerangan Ikhwanul Muslimin Kaherah sebelum Presiden Gamal Nasir mengharamkan Ikhwanul Muslimin pada 1948. Di Tanah Melayu, beliau mula mengajar di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Kedah sebelum dilantik sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Perlis. Pada 1955, beliau mengajar di Kolej Islam Malaya di samping turut menjadi pensyarah di 'Kursus Perguruan Islam' di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol. Dengan jasanya yang besar, beliau pernah dianugerahkan pingat yang membawa gelaran 'Tan Sri' oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebagai seorang tokoh yang berpendidikan dari Universiti al-Azhar dan mendapat sentuhan tarbiyah dari Ustaz Hassan al-Banna, beliau sangat aktif berdakwah menyampai fikiran-fikiran yang progresif kepada orang Melayu terutama untuk memodenkan pendidikan agama bagi melahirkan umat rabbani, memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk generasi ulul albab. Beliau pernah berselisih pendapat dengan Qadhi Kuala Kangsar, Haji Ghazali Abdullah, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam isu hukum pancaragam pada 1955. Beliau mendukung pandangan-pandangan Ustaz Hassan al-Banna dalam soal politik dan tarbiyah, terutama usaha membentuk semula masyarakat, negara dan khalifah. Inilah yang tergambar dalam seruannya pada 8 Ogos 1955 bahawa Islam adalah agama yang membawa kemajuan kepada rakyat dan negara.

Antara peranan besar beliau terhadap PAS ialah memulakan tarbiyah model Ikhwanul Muslimin sejak 1954. Ketika berada di Maktab Mahmud, beliau menjadi murabbi kepada pergerakan pelajar PAS iaitu Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS). Antara pimpinan PAS yang lahir gerakan tarbiyah beliau ialah Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki (bekas Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Abu Bakar Hamzah (bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS), Ustaz Jaiz Anwar (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Prof Zulkifli Mohamad (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden PAS). Melalui Ustaz Abu Bakar Hamzah selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962), dalam lawatan ke Kaherah pada 1958, PAS telah membina hubungan rasmi dengan Ikhwanul Muslimin. Pada 29 Disember 1964, Dewan Pemuda PAS telah secara rasmi menjadikan karya-karya Hassan al-Banna sebagai teks tarbiyahnya.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: