03 Ogos 2016

03 Ogos 1986 : PAS Kuasai Separuh Undi Popular Di Kelantan Pada Pilihanraya Umum Kali Ke-7

Pada hari ini dalam tahun 1986, PAS Kelantan telah membuat lonjakan besar dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986 dengan menguasai 45.9 peratus undi popular dan menguasai 10 daripada 39 kerusi DUN di Kelantan. PAS yang tewas teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 akibat kerjasama antara serpihan PAS, Berjasa dengan Umno dan mengalami perpecahan lagi ekoran penubuhan Hamim pada 24 Mac 1983, dilihat sukar untuk bangkit dalam masa yang terdekat. Namun begitu, kejayaan PAS Kelantan membuat lonjakan besar pasca dua perpecahan ini, telah menyebabkan PAS dilihat sangat berpotensi untuk berkuasa semula di Kelantan dalam pilihan raya berikutnya.

Pilihan Raya Umum 1986 diadakan dalam suasana politik yang tidak memihak kepada PAS kerana ia sedang diserang dengan beberapa isu besar antaranya Tragedi Memali 19 November 1985, isu hubungan PAS-CCC, isu pertemuan PAS-Umno dan juga isu "Parti Allah" yang dijadikan senjata saat akhir BN. PAS sendiri yang berusaha membentuk pakatan pembangkang melalui penubuhan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 14 Julai 1986 tidak sempat berbuat apa-apa kerana Parlimen dibubarkan lima hari kemudian. Kerjasama PAS dengan masyarakat Cina menerusi Majlis Perunding Cina (CCC) sejak 1985 juga tergugat ekoran isu pertemuan PAS-Umno. Dari segi isu-isu di peringkat nasional, BN telah berjaya memilih kedudukan terbaik untuk membendung pencapaian PAS.

Namun begitu, di Kelantan suasana politik telah berbeza selepas kekalahan 1978. Faktor kepemimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai PAS Kelantan sejak 1 Mac 1981, yang diikuti oleh program tarbiyah dalaman yang dibuat secara besar-besaran dan juga kuliah umum yang berpusat di Dewan Zulkifli Mohamad telah memulihkan kekuatan PAS dalam masa yang singkat. Perpecahan pada 1983 yang menyebabkan PAS hilang empat daripada lima kerusi Parlimen (Kota Setar, Rantau Panjang, Bachok dan Pasir Mas) serta tiga kerusi DUN (Kubang Kerian, Meranti dan Perupok) tidak menjejaskan PAS, sebaliknya telah menyingkirkan golongan yang menjadi "kemuncut dalam perjuangan." Kegagalan Hamim mendapatkan semula deposit dalam pilihan raya kecil di Selising dan Kemumin pada 8 September 1983 telah menghilangkan gugatan parti tersebut terhadap PAS walaupun mereka menyertai BN pada 1985.

Pembubaran serentak DUN Kelantan dan Dewan Rakyat pada 19 Julai 1986, yang diikuti oleh penamaan calon pada 24 Julai 1986 dan pengundian pada 3 Ogos 1986 telah memperlihatkan PAS Kelantan berjaya mengenepikan isu-isu nasional dan membuat kebangkitan semula. 10 calon PAS iaitu Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat (Semut Api), Daud Ibrahim (Kemumin), Abdul Halim Abdul Rahman (Banggol), Mawardi Ahmad (Lundang), Mustafa Ibrahim (Mulong), Omar Mohamad (Perupuk), Idris Ahmad (Tawang), Wan Hussin (Labok), Wan Hassan Wan Yusof (Guchil) dan Ismail Yaakob (Manik Urai) telah menang di kawasan masing- masing, di samping kejayaan Ustaz Nik Abdullah Arshad mempertahankan kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. BN sebaliknya memenangi 29 kerusi DUN dengan lebih 10 daripadanya adalah marginal, sedangkan pada 1988, pengharaman Umno hampir menghilangkan majoriti mereka di DUN Kelantan. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dilantik sebagai Ketua Pembangkang di DUN Kelantan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: