31 Ogos 2016

31 Ogos 1983 : Pindaan Perlembagaan PAS Dimuktamadkan Tubuh Majlis Syura Ulamak

Pada hari ini dalam tahun 1983, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri telah memuktamadkan pindaan Perlembagaan PAS dalam satu mesyuarat khas di Kuala Lumpur. Tujuan utama pindaan Perlembagaan PAS ini adalah untuk membolehkan PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai institusi tertinggi yang mengawal dasar parti. Ia adalah manifestasi daripada keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 yang menggagaskan konsep kepemimpinan ulamak yang menjadi teraju perjuangan PAS.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982, satu usul Dewan Pemuda PAS Pusat untuk PAS mempelopori dan mengamalkan konsep kepemimpinan ulamak telah diluluskan, bersama usul supaya Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 dipinda untuk menubuhkan sebuah 'Majlis Ulamak' yang menjadi tempat rujukan dan berkuasa memutuskan setiap urusan PAS. Ekoran itu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 4 November 1982 telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Pemangku Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri bagi mengkaji pindaan Perlembagaan PAS, untuk diangkat ke Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 dalam tahun 1983. Jawatankuasa Khas ini telah menyusunkan beberapa perkara sebagai cadangan kepada pindaan Perlembagaan PAS tersebut, antaranya:

I. Perubahan nama jawatan-jawatan utama PAS seperti Yang Dipertua Agung PAS kepada Presiden PAS;
II. Mewujudkan satu jawatan baru dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS iaitu Ketua Penerangan PAS;
III. Mengubah fungsi Dewan Ulamak PAS kepada tanggungjawab tarbiyah dan pendidikan;
IV. Mengawal kuasa Yang Dipertua Agung PAS dalam melantik pegawai utama parti, iaitu mesti dengan persetujuan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS;
V. Penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai manifestasi daripada konsep kepemimpinan ulamak. 

Berbeza dengan cadangan-cadangan lain yang bertujuan memperkemas dan menambah baik organisasi PAS sedia ada, cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS adalah langkah radikal dalam memperkasakan peranan para ulamak dalam PAS. Pindaan ini menggariskan tiga kuasa Majlis Syura Ulamak PAS iaitu:

i) menafsirkan Perlembagaan PAS,
ii) mengawal dasar parti, dan
iii) mengawal tatatertib atau disiplin ahli PAS.

Majlis ini kelak akan diketuai oleh seorang Mursyidul Am, sedangkan ahli-ahlinya seramai 12 orang adalah terdiri dari para ulamak. Badan ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Yang Dipertua Agung PAS dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan tujuan memastikan "penentuan dasar PAS itu lebih terjamin dari segi sandarannya kepada kehendak-kehendak syariat Islam." Cadangan-cadangan yang digariskan oleh Jawatankuasa Khas telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 April 1983, sebelum ia diangkat kepada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April hingga 1 Mei 1983.

Cadangan Jawatankuasa Khas ini telah diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, tetapi isu perubahan nama jawatan-jawatan utama telah diubah dari cadangan "Presiden PAS" kepada "Yang Dipertua PAS Pusat," dengan ketetapan ia mesti dikaji semula oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama tiga wakil Badan Perhubungan Negeri. Setelah melepasi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Mei 1983 dan 20 Ogos 1983, maka Jawatankuasa Kerja Agung PAS bersama wakil-wakil Badan Perhubungan PAS Negeri pada 31 Ogos 1983 kemudiannya telah mengesahkan pindaan baru ini, sebelu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: