30 Ogos 2016

30 Ogos 1955 : 'Mr. Opposition' PAS Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan

Pada hari ini dalam tahun 1955, wakil rakyat tunggal pembangkang mewakili PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) setelah memenangi Pilihan Raya Umum pada 27 Julai 1955. Beliau merupakan satu-satu calon bukan Perikatan yang menang bagi kerusi Krian daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya tersebut untuk mengisi salah satu kerusi Majlis Undangan Persekutuan yang mempunyai 98 ahli itu. Dengan berlangsungnya majlis mengangkat sumpah ini, maka rasmilah Bendahari Agung PAS itu sebagai wakil pembangkang tunggal, yang kemudiannya lebih dikenali sebagai "Mr Opposition" di kalangan anggota majlis perundangan tersebut.

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin merupakan seorang ulamak terkenal di utara Semenanjung. Beliau adalah salah seorang ulamak yang berkerja keras dalam mengasaskan PAS, walaupun pada awalnya merupakan aktivis Umno. Ulamak keturunan Banjar ini adalah anak kepada Tuan Hussin Kedah, ulamak besar yang tersohor itu dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Mekah, sebelum menjadi Mudir Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena, Seberang Perai. Di dalam PAS, beliau pernah dilantik sebagai Bendahari Agung PAS, Ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ketua Dewan Ulamak PAS dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS. Pada 23 Disember 1956, beliau mewakili Dr Haji Abbas Alias menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima.

Dengan terlantiknya Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin sebagai Ahli Majlis Undangan Persekutuan secara rasmi pada 30 Ogos 1955, maka beliau telah memainkan peranan penting dalam membawa suara Islam ke majlis perundangan itu. Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda mencatatkan peranan beliau, "sebagai seorang ulamak terkenal dan mempunyai ketokohan dan kedudukan yang terhormat dalam masyarakat, maka kehadiran beliau (Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin) dalam Majlis Undangan Persekutuan itu merupakan titik tolak penting dalam sejarah PAS." Sepanjang empat tahun (1955-1959) beliau berada dalam Majlis Undangan Persekutuan, beliau telah membangkitkan isu-isu masyarakat, kedudukan Islam, bahasa Melayu, ketuanan Melayu, pelajaran dan juga isu antarabangsa. Sejak mula dicalon oleh PAS, beliau telah difitnah oleh Umno kononnya Majlis Undangan bukan tempat "membaca doa nasi kunyit" atau mengajar hadis, bahkan mendakwa beliau tidak dapat berfungsi kerana "tidak tahu berbahasa Inggeris."

Semua fitnah ini tertolak apabila beliau dicatatkan tidak pernah 'memonteng' sidang Majlis Undangan Persekutuan dan berperanan aktif. Bermula dengan membangkit isu rakyat seperti bantuan nelayan, ganti rugi penanam padi, kedudukan pesara kerajaan, penglibatan lepasan sekolah dalam perkhidmatan awam, hinggalah masalah penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan ancaman komunis. Antara sumbangan besar beliau ialah cadangan berkait sekolah-sekolah agama rakyat yang dibangkitkan pada 14 Mac 1956, dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Penyiasat Sekolah Agama. Hasilnya, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Bukan Kerajaan yang turut dianggotai oleh beliau, dengan diketuai Abdul Rahman Talib. Kerana cadangan mereka, kerajaan memasukkan bantuan sekolah agama dalam Ordinan Pelajaran 1957. Pada 16 Mei 1956, Tuan Guru Haji Ahmad telah berucap menyokong Penyata Pelajaran Razak dengan menekankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, lalu tarikh penerimaan Penyata Razak 1956 ini (16 Mei) dijadikan 'Hari Guru.' Dalam perbahasan Belanjawan 1957 pada 13 November 1956, beliau telah mencadangkan supaya jualan arak dihapuskan dan cadangan penghapusan judi laga binatang pada 15 Ogos 1957.

Peranan terpenting Tuan Guru Haji Ahmad di Majlis Undangan Persekutuan ialah apabila beliau memberi pandangan tentang Penyata Reid atau Kertas Putih Perlembagaan pada 10 Ogos 1957. Ucapan beliau terfokus kepada beberapa isu seperti Perlembagaan ini "will not benefit to the Malay," kerana soal kebangsaan tunggal, hak ketuanan Melayu dan kerakyatan jus soli akan "melenyapkan dan menanggalkan hak mutlak bangsa Melayu di dalam tanah airnya sendiri." Dalam soal Islam sebagai agama Persekutuan yang sekular, beliau menegaskan "but this would be lower the dignity of Islam, for Islam cannot, under modern condition, be associated with the State." Ini selari dengan pandangan PAS yang menegaskan "... (Islam) ialah agama yang menjadi panduan kepada hidup negeri ini, dan kepada pemerintahan negeri ini dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya." Bagi beliau, isu ini timbul kerana Perlembagaan Persekutuan digubal tanpa penglibatan rakyat, melainkan Perikatan, Raja-raja Melayu dan British sahaja.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: