06 Ogos 2016

06 Ogos 2016 : Pendaftaran PAS Cawangan Singapura Diluluskan

Pada hari ini dalam tahun 1958, usaha PAS untuk menubuhkan sayapnya di Singapura sejak 1952 telah berhasil apabila permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura diluluskan oleh pihak berkuasa. Pada 1952, PAS pernah mengemukakan permohonan yang serupa kepada pemerintah British di tanah jajahan mahkota itu, tetapi telah ditolak. Singapura yang mempunyai undang-undang yang berbeza dengan Tanah Melayu menghendaki cawangan parti politik dari Semenanjung didaftarkan di pulau itu, sedangkan sebelum 1966, cawangan-cawangan parti politik di Tanah Melayu tidak didaftarkan.

Perkembangan politik yang pesat di Singapura tetapi diwarnai oleh konflik berdarah akibat isu Natrah pada akhir 1950, yang diikuti oleh melebarnya pengaruh komunis di pulau itu, telah menyebabkan proses pendaftaran PAS pada 1952 gagal. Namun, disebabkan ramainya tokoh-tokoh politik Islam dan pemimpin kiri di Singapura yang menyertai PAS antara 1951 hingga 1956, telah meletakkan Singapura sebagai potensi besar bagi PAS. Antara tokoh agama yang menonjol di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman al-Jampuli, Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof Ahmad Ibrahim, Sheikh Fadhlullah Suhaimi, Syed Ahmad Dahlan, Ustaz Mohd Taha Suhaimi dan Wan Jo Abu Bakar yang telah menyertai PAS. Sedangkan tokoh-tokoh kiri yang turut menyertai PAS di Singapura termasuk Mohd Taha Kalu, Khadijah Sidek, Dr Dali Moin dan Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah.

Perubahan politik pasca Pilihan Raya Singapura 1955 yang memperlihatkan kemunculan David Marshal sebagai Ketua Menteri telah memberi nafas baru kepada PAS. Pada 24 Februari 1957, satu pertemuan ahli-ahli PAS Singapura diadakan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi yang turut dihadiri oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Yang Dipertua Agung PAS. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha Suhaimi sebagai Yang Dipertua PAS Singapura. Mereka kemudiannya mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura di bawah Ordinance of Society Singapore.

Pada 6 Ogos 1958, permohonan untuk mendaftarkan PAS Cawangan Singapura telah diluluskan sekaligus membolehkan PAS bergerak secara sah di pulau Temasik itu. Pada 20 November 1958, PAS Cawangan Singapura telah mengadakan mesyuarat agung kali pertama di mana bekas Setiausaha Agung PKMM Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Singapura. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958 kemudiannya telah memberikan status autonomi kepada PAS Cawangan Singapura di mana Yang Dipertuanya secara automatik menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura. Selain Ustaz Abdullah Zawawi yang menjadi pesuruhjaya antara 1958-1962, turut menjadi pesuruhjaya ialah Ustaz Mohd Taha Suhaimi (1962-1966). Selepas perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, PAS Singapura dikenali sebagai Angkatan Islam (AIS) yang dipimpin oleh Wan Jo Abu Bakar. Mulai 2011, ia dikenali sebagai Angkatan Islam Singapura (Angkasa).

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: