19 Ogos 2016

19 Ogos 1963 : Prof. Zulkifli Perjelas 4 Jam Di Dewan Rakyat Sebab Menolak Penubuhan Malaysia

Pada hari ini dalam tahun 1963, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Profesor Zulkifli Mohamad telah menyampaikan ucapan selama empat jam di Dewan Rakyat ketika membahas usul penubuhan Malaysia. Ahli Parlimen Bachok itu mencipta sejarah dengan menyampaikan ucapan yang begitu panjang dalam menghuraikan sikap yang menentang penubuhan Malaysia. Di hujung perbahasannya, beliau mempertegaskan kaedah fekah "menolak kejahatan lebih bagus daripada maslahah" sebagai sebab kenapa PAS mengambil pendirian tersebut.

Pendirian PAS terhadap penubuhan Malaysia telah diambil dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961 di mana PAS menolak cadangan penggabungan Tanah Melayu dengan Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura, sebalik PAS mencadangkan Melayu Raya yang turut melibatkan Indonesia, Filipina dan semua gugusan pulau-pulau Melayu. PAS mengemukakan cadangan Melayu Raya ke Dewan Rakyat dua kali iaitu pada 16 Oktober 1961 dan 1 Mei 1962, tetapi gagal. Setelah melalui beberapa proses, pada 14 Julai 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil keputusan bahawa "PAS adalah menentang rancangan dan gagasan Malaysia..." kerana ia "membahayakan terhadap orang-orang Melayu."

Pada 11 Ogos 1963, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya Prof Zulkifli Mohamad mengusulkan bahawa Kerajaan Perikatan tidak mendapat mandat rakyat untuk menandatangani Perjanjian Malaysia di London pada 9 Julai 1963, tetapi usul ini ditolak. Ekoran itu, beberapa Ahli Parlimen PAS iaitu Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh) dan Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) telah menyokong pindaan usul yang dibuat oleh Tan Phock Kin (Tanjong) berkaitan perjanjian tersebut. Di luar Parlimen, PAS telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak termasuk Filipina, Indonesia, PBB, Negara-negara Arab dan Afro-Asia untuk menyatakan sikap PAS dan sebabnya.

Rang Undang-undang Malaysia 1963 yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Julai 1963, telah dibangkang oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut) pada 15 Ogos 1963, Penasihat Undang-undang PAS, Wan Mustafa Ali (Kelantan Hilir) pada 17 Ogos 1963. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohamad telah berucap membangkang rang undang-undang ini pada 19 Ogos 1963. Namun akhirnya, Rang Undang-undang Malaysia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Ogos 1963, sebelum Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Dalam ucapannya selama empat jam pada 19 Ogos 1963 itu, Prof Zulkifli Mohamad telah menjelaskan sebab-sebab PAS menolak penubuhan Malaysia. Beliau telah menyentuh beberapa persoalan antaranya tentang masa depan orang Melayu, layanan istimewa kepada Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Perjanjian 20 Perkara, bahasa kebangsaan bagi negeri-negeri baru, kerakyatan mudah bagi Singapura, jumlah perwakilan Sabah, Sarawak dan Singapura di Dewan Rakyat, masalah pengurusan kewangan dan proses pilihan raya di negeri-negeri tersebut. Dalam ucapannya pada 19 Ogos 1963 ini, Prof Zulkifli Mohamad menyifatkan penubuhan Malaysia akan membahayakan masa depan orang Melayu.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: