12 Ogos 2016

12 Ogos 1954 : Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 Tentukan Halatuju PAS Secara Jelas

Pada hari ini dalam tahun 1954, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga berakhir 14 Ogos 1954 di Madrasah at-Tahzib ad-Diiniyah, Titi Serong, Perak dan dibuka dengan rasmi oleh Orang Besar Jajahan Kerian, Orangkaya Setia Toh Muda Haji Jaafar. Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954 ini sangat penting kerana ia telah menentukan hala tuju perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam di negara ini. Ia dihadiri oleh para perwakilan dari 16 buah cawangan PAS dari seluruh Tanah Melayu dan Ucapan Dasar Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah dibacakan oleh Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang.

Beberapa perkara pokok yang diambil ketetapan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini antaranya ialah menetapkan tujuan sebenar perjuangan PAS secara jelas, iaitu untuk "memperjuangkan cita-cita Islam dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara." Sebelum ini, persoalan negara Islam tidak disebut oleh PAS kerana suasana politik yang tidak mengizinkan terutama selepas Hizbul Muslimin dilumpuhkan ekoran cita-cita "Darul Islam"nya. Serentak dengan itu juga, PAS mempertegaskan bahawa tujuan utama jangka pendeknya adalah untuk "menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam" sebagai strategi terpenting untuk membentuk negara Islam. Bertolak dari tujuan ini, mereka mengambil ketetapan untuk "menyokong mana-mana pertubuhan untuk kemerdekaan Malaya."

Salah satu isu besar yang timbul sejak hari pertama penubuhan PAS ialah disiplin parti. Pimpinan dan ahli-ahli PAS menyedari bahawa persoalan wala' (kesetiaan) akan menjadi barah kepada organisasi jika pimpinan PAS dibenarkan menganggotai lebih dari sebuah parti. Ketika Persatuan Ulamak Malaya bersidang pada 24 November 1951, mereka memutuskan supaya diadakan disiplin parti, tetapi kerana faktor-faktor tertentu, Undang-undang Tubuh PAS 1951 terpaksa dipinda. Isu disiplin atau tatatertib ini telah menyebabkan PAS menerima kritikan keras pada peringkat awal, terutama apabila terdapat pimpinan PAS yang turut menjadi ahli Umno dan IMP serentak. Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953, faktor pertindanan keahlian ini telah menyebabkan PAS berpecah. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini telah menetapkan semua pimpinan PAS tidak boleh menjadi ahli parti lain, diikuti oleh ketetapan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 24-25 Disember 1955 bahawa semua ahli PAS tidak boleh lagi menjadi ahli parti lain serentak.

Persoalan disiplin parti ini telah berbangkit kerana krisis yang timbul pada 26 September 1953. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mahu PAS bersama National Conference yang dikuasai oleh Dato' Onn Jaafar, sedangkan Haji Ahmad Badawi mahu PAS menyokong National Convention yang dikuasai Tunku Abdul Rahman. Jika Mesyuarat Agung Khas PAS itu menolak National Conference, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga ini memutuskan supaya PAS berkecuali dari National Convention setelah mendapati tuntutan mereka merugikan orang Melayu, namun kekal menyokong tuntutan pilihan raya segera dan kemerdekaan. Kesan dari disiplin parti dan berkecuali dari National Convention, para pimpinan PAS yang memilih kekal bersama Umno telah berundur. Namun ia memberi dampak positif apabila tokoh-tokoh Hizbul Muslimin dan pimpinan politik kiri mula menyertai PAS secara besar-besaran termasuk Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Mohamad.

Krisis kepemimpinan yang timbul akibat perletakan jawatan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertua Agung PAS juga telah berakhir dengan pemilihan Dr Haji Abbas Alias sebagai Yang Dipertua Agung PAS kedua. Dr Haji Abbas Alias yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS sejak 27 November 1953 terpaksa membentuk Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS yang terdiri dari Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, Cikgu Ahmad Awang dan Tuan Guru Haji Mansor Hassan JP pada akhir Mei 1954 kerana beliau sering bertugas di luar negara. Selain itu, Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini juga telah meminda Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1953 untuk membolehkan Pesuruhjaya PAS Daerah dilantik bagi mengemaskan organisasi di peringkat negeri. Salah ketetapan yang penting diambil oleh mesyuarat agung ini ialah supaya PAS mengambil jalan demokrasi dalam perjuangannya menegakkan Islam di mana PAS akan menyertai pilihan raya yang akan diadakan pada tahun 1955.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: