23 Ogos 2016

23 Ogos 1951 : Ulamak Tekad Tubuhkan Parti Islam Untuk Perjuangkan Islam Sebagai Dasar Hidup

Pada hari ini dalam tahun 1951, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua yang berlangsung di Sultan Sulaiman Klab, Kampung Baru Kuala Lumpur telah meluluskan dua usul, termasuk bersetuju menubuhkan sebuah parti politik Islam, Persatuan Ulamak Malaya yang bertujuan memperjuangkan agama Islam sebagai dasar hidup. Persidangan yang menerima 22 usul dari seluruh negara ini hanya membincangkan dua usul sahaja. Satu lagi usul yang diluluskan ialah untuk merayu kepada Raja-raja Melayu bagi menyelaraskan pentadbiran agama, sedang isu berkaitan dengan Loteri Umno tidak dibincangkan langsung kerana mereka berpandangan isu ini akan diselesai melalui penubuhan Persatuan Ulamak Malaya, setelah Umno tidak mahu tunduk kepada hukum Allah.

Kedua-dua usul yang diputuskan oleh persidangan selama sehari pada 23 Ogos 1953 ini dicadangkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam atas kedudukan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno. Setelah para ulamak yang berjumlah 65 orang dalam persidangan ini berbahas, mereka bersetuju dengan masalah yang ditimbulkan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bahawa suara ulamak tidak dipedulikan oleh Umno kerana ulamak tidak bersatu. Pada 15 Jun 1951, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah menyuarakan keluhan beliau dalam Suara Umno dengan tulisan yang bertajuk "Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan." Rungutan beliau inilah yang menjadi sebab Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini. Atas asas ini pula, para ulamak mengambil persetujuan untuk menerima dan meluluskan usul Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno itu bagi menubuhkan sebuah persatuan ulamak sebagai parti politik berasaskan Islam.

Setelah cadangan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad diluluskan, Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua ini mengambil beberapa ketetapan berkait persatuan tersebut, iaitu:

I. Sebuah Jawatankuasa yang dianggotai lima ahli ditubuhkan untuk menaja dan merangka undang-undang tubuh persatuan ini;
II. Melantik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja, dengan Syed Mohamad Syafie (Kuala Lumpur) dan Haji Ayub (Perak) sebagai ahli. Dua lagi ahli yang dinamakan oleh Pengerusi Jawatankuasa ialah Haji Mohamad Amin Amran (Johor) dan Sardon Jubir (Singapura);
III. Jawatankuasa ini bertanggungjawab "menjalankan pekerjaan menubuhkan" Persatuan Ulamak Malaya;
IV. Persidangan Persatuan Ulamak Malaya hendaklah diadakan di Pulau Pinang tidak lewat dari Disember 1951 untuk menubuhkan persatuan ini; dan
V. Bahawa Persatuan Ulamak Malaya adalah tidak terikat dengan Umno dan persidangan di Pulau Pinang "tidak di bawah pentadbiran Umno" dan semua perbelanjaan ditanggung oleh pertubuhan yang menyertainya. Sumbangan sebanyak $200.00 telah dikutip untuk membiayai persidangan tersebut.

Dengan keputusan para ulamak untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Malaya ini, maka tertubuhlah secara rasmi sebuah parti politik Islam yang baru menggantikan Hizbul Muslimin yang lumpuh pada Ogos 1948 ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948. Dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Seberang Perai pada 24 November 1951, telah dipersetujui supaya persatuan ini dinamakan secara rasmi sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Pada 14 Ogos 1954, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga telah bersetuju menetapkan bahawa 23 Ogos 1951 sebagai tarikh rasmi penubuhan PAS dan ia perlu diadakan sambutan peringatan secara tahunan.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: