20 Ogos 2016

20 Ogos 1951 : Ungku Ismail Gesa Ulamak Tubuhkan Parti Muslimin Malaya Melalui Surat Terbuka

Pada hari ini dalam tahun 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman telah menggesa para ulamak supaya berpisah daripada Umno dan menubuhkan sebuah parti politik Islam, Parti Muslimin Malaya untuk mengatasi malasah pemimpin Umno yang tidak patuh kepada hukum Islam. Gesaan Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman yang berbentuk sebuah surat terbuka telah disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu pada 20 Ogos 1951, semuka penuh pada halaman 6 akhbar tersebut. Gesaan beliau kepada para ulamak ini, terutama yang berada dalam Bahagian Agama Umno pimpinan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan adalah ekoran tindakan Umno menganjurkan judi Loteri Umno pada 1951 bagi menyelesaikan isu dana Rumah Umno.

Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman yang dilahirkan pada 1901 merupakan cicit kepada Temenggung Ibrahim Daing Abdul Rahman, pengasas Kesultanan Johor Moden, yang berpangkat cucu saudara kepada Sultan Abu Bakar Johor. Selepas mendapat pendidikan Inggeris di Johor Bahru dan Perth, Australia, beliau memasuki Jamiah Osmaniah di Beirut atas tajaan Kerajaan Othmaniyah pada 1914. Tetapi kerana meletusnya Perang Dunia Pertama, beliau menghabiskan pengajian di Syrian Protestant College of Beirut pada 1920. Selepas 21 tahun berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Johor, pada 1943 beliau dilantik sebagai Majestret Kelas Pertama dan akhirnya menjadi Yang Dipertua JAIJ (1950-1954), Pegawai Daerah Johor Bahru (1954-1956) dan Timbalan Menteri Besar Johor (1956-1960).

Sebagai pegawai tadbir negeri Johor yang lahir dalam Istana Johor, Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman adalah ahli Umno semenjak 1946 tetapi mulai mempersoalkan perjuangan Umno ekoran isu judi pada 1950 dan juga krisis Dato' Onn Jaafar sebagai Yang Dipertua Agung Umno pada 1951. Ekoran kegagalan Dato' Onn Jaafar menjadikan orang bukan Melayu sebagai ahli Umno pada 1951, menyebabkan pengasas Umno itu mengumumkan untuk meninggalkan Umno mulai 26 Ogos 1951. Ketika Umno kehilangan pemimpin utamanya, beberapa cawangan Umno telah mengemukakan nama Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman sebagai calon Yang Dipertua Agung Umno, selain Tunku Abdul Rahman Putra, C.M Eusoff dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan.

Ketika namanya dicalonkan sebagai bakal Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) Umno menggantikan Dato' Onn Jaafar, Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman bukan sahaja menarik diri, tetapi beliau menulis surat terbuka kepada ulamak yang disiarkan pada 20 Ogos 1951 supaya para ulamak menubuhkan sebuah parti Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah serta bebas daripada Umno. Gesaan beliau adalah berasaskan kenyataan beliau bahawa perjuangan Umno telah tergelincir daripada al-Quran dan Sunnah setelah Umno bertindak menganjurkan Loteri Umno pada 1951. Dalam Utusan Melayu, 20 Ogos 1951, beliau menulis,

"Pada faham saya bagi memperbaiki hal ehwal orang Islam, sampailah masanya kita menubuhkan Parti Muslimin Malaya yang bertanggungjawab atas hal ehwal orang-orang Muslimin. Sekiranya parti ini ditubuhkan, tidak dapat tidak ahli-ahlinya mengandungi alim ulamak... Tatkala Parti Muslimin telah berdiri terbitlah satu soalan: Adakah satu pertubuhan yang berpandu dan berdasarkan al-Quran dan Hadis Nabawi mesti bernaung di bawah Pertubuhan Kebangsaan (Melayu Bersatu) (Umno) yang terikat dengan undang-undang yang tidak boleh meliputi kehendak-kehendak al-Quran dan Hadis?"

Pandangan Ungku Ismail Ungku Abdul Rahman ini adalah selari dengan pendapat Persatuan Ulamak Kedah yang dikuasai oleh ulamak Umno dan juga Persidangan Khas Alim Ulamak (Umno) Seberang Perai pada 19 Ogos 1951 yang memandang tindakan Umno sebagai bercanggah dengan hukum Allah. Persidangan Khas Alim Ulamak Umno itu juga turut mencadangkan supaya ulamak menubuhkan Persekutuan Muslimin Malaya, sedangkan seorang ulamak Singapura, Sheikh Fadhlullah Suhaimi mencadangkan agar ulamak menubuhkan Majlis A'la lil Syau'un ad-Diiniah Malaya. Seluruh cadangan ini sebenarnya ditujukan kepada Persidangan Alim Ulamak Malaya Kali Kedua anjuran Umno yang akan berlangsung pada 23 Ogos 1951.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: