01 September 2016

01 September 1991 : Kerajaan PAS Kelantan Umum Pengalihan Wang Kerajaan Ke Bank Islam Tanpa Riba

Pada hari ini dalam tahun 1991, Kerajaan PAS Kelantan telah mengumumkan satu dasar untuk membersihkan harta kerajaan daripada unsur riba dengan memindahkan semua wang kerajaan di bank konvensional ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), iaitu satu-satunya yang mengamalkan sistem perbankan Islam ketika itu. Sejak PAS mengambil alih Kerajaan Kelantan daripada BN mulai 22 Oktober 1990, PAS telah menunjukkan komitmen untuk melaksanakan syariat secara berperingkat bermula dengan sektor ekonomi dan sosial, sebelum melaksanakan sistem undang-undang jenayah Islam. Dalam kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Februari 1991, bahawa undang-undang jenayah Islam tidak akan dilaksanakan secara serta-merta bagi mengelakkan tohmahan buruk, sebaliknya syariat dilaksanakan secara berperingkat termasuk menghapuskan amalan riba dalam masyarakat.

Mengharamkan riba adalah antara kewajipan kerajaan kerana riba diharamkan oleh Islam. Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sistem kewangan riba menjadi senjata kuasa Barat untuk membelenggu ekonomi dunia dan umat Islam. Apabila beliau menjadi Menteri Besar pada 22 Oktober 1990, "Antara perkara pertama yang ambo (Menteri Besar Kelantan) buat masa jadi MB (Menteri Besar), ambo panggil Pegawai Kewangan Negeri, minta pindah akaun kewangan Kerajaan (Kelantan) ke Bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat, sebab ni perkara nas, tak perlu mesyuarat, kita kena buat." Dengan tindakan ini, Kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja telah membersihkan simpanan tetap kerajaan dari riba, tetapi dapat memaksa bank-bank konvensional mengamalkan perbankan syariah mulai 1993.

Bagi menghapuskan amalan ekonomi haram dalam masyarakat Kelantan, Kerajaan PAS Kelantan telah memulakan dengan mengharamkan judi melalui sekatan lesen premis judi mulai 1 Januari 1991. Susulan daripada itu, mulai 1 Februari 1991, diperkenalkan sistem qardhu hassan iaitu pinjaman tanpa faedah bagi pembelian kenderaan dan rumah kepada kakitangan kerajaan, selain menubuhkan Tabung Serambi Mekah pada awal 1991. Ini diikuti oleh langkah kerajaan menyekat premis bank konvensional beroperasi di Kelantan melainkan mesti mempunyai produk berasaskan syariah mulai 1993. Sebelum itu, Kerajaan PAS Kelantan pada Mac 1992 telah memperkenal sistem gadaian Islam, ar-rahn bagi membersihkan riba dalam masyarakat, yang diikuti oleh pelancaran Amanah Saham Darul Naim (ASDN) yang patuh syariah.

Tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pada 1 September 1991 tentang langkahnya untuk mengalihkan simpanan tetap kerajaan ke Bank Islam mulai 1993 ternyata memberi kesan besar kepada sistem kewangan Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi apabila Menteri Besar Kelantan pada 18 Julai 1992 bukan sahaja menegaskan dasar untuk memindahkan aset kewangan kerajaan ini ke Bank Islam, tetapi tidak akan meluluskan lesen premis untuk syarikat perbankan konvensional beroperasi di Kelantan mulai 1993. Ekoran itu, Bank Negara pada 6 Mac 1993 telah memberi kebenaran kepada tiga buah bank untuk membuka 'Islamic Window' yang kemudiannya dikenali sebagai Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF). Pada 21 Ogos 1993, 10 buah lagi bank terlibat dengan SPTF, sehingga Bank Muamalat ditubuhkan pada 1999 sebagai bank Islam yang kedua.

Berdasar statistik, sebelum Kelantan memperkenalkan dasar kewangan tanpa riba, terdapat hanya sebuah bank Islam di Malaysia antara 1983 hingga 1992, tetapi ia telah meningkat kepada 21 buah bank yang mengamalkan SPTF pada 1993. Menjelang tahun 1998, telah terdapat 49 buah bank yang mempunyai Skim Perbankan Islam (SPI), nama baru SPTF. Ekoran kegawatan ekonomi pada 1998 dan percantuman bank-bank, bilangan bank SPI telah dikurangkan kepada 36 buah. Ternyata langkah Kerajaan PAS Kelantan yang mengumumkan pada 1 September 1991 untuk memindahkan simpanan kerajaan ke bank Islam, dan sekatan ke atas bank konvesional mulai 1993 untuk beroperasi di Kelantan telah menyebabkan kemajuan mendadak sistem kewangan Islam di negara ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: