11 September 2016

11 September 1953 : PAS Setuju Adakan Mesyuarat Agung Khas Bincang Tuntutan Pilihanraya

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas PAS bagi membincangkan pendirian PAS dalam menuntut pilihan raya segera ke arah kemerdekaan sama ada akan menyokong National Conference atau National Convention. Keputusan PAS diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam mesyuarat pertama mereka selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953 di Bagan Datoh, Perak, di mana dalam mesyuarat agung ini para perwakilan telah mempersoalankan tindakan PAS menyertai kedua-dua badan tersebut dalam tuntutan pilihan raya segera sedangkan kedua-dua badan itu berlainan dasar dan tuntutannya. Bagi menentukan sikap PAS sama ada bersama-sama dengan National Conference atau National Convention, PAS akan mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 26 September 1953 di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam.

National Conference adalah sebuah gabungan politik yang ditaja oleh 16 orang kenamaan termasuk tujuh Menteri Besar. Badan yang dikuasai oleh bekas Yang Dipertua Agung Umno yang menubuhkan IMP, Dato’ Onn Jaafar ini dikatakan telah ditubuhkan dengan pengaruh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, Sir Malcolm McDonald. Ia ditubuhkan pada 12 Februari 1953, tetapi Umno menarik diri daripadanya kerana Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra tidak mahu tenggelam dalam pengaruh Dato’ Onn Jaafar. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang mewakili PAS menyertai National Conference pada 27 April 1953 telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference. Bagi menyaingi pengaruh Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra telah menubuhkan National Convention bersama MCA dan mengadakan perhimpunan pertama pada 23 Ogos 1953, di mana PAS turut menyertainya dan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, Muhammad Hanif dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Convention, tetapi beliau kemudiannya menarik diri.

Disebabkan oleh tindakan PAS menyertai kedua-dua badan yang saling bertentangan dan berebut pengaruh ini, para perwakilan dari PAS Cawangan Hilir Perak dan Bukit Besar telah mempersoalkan tindakan PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua. Yang Dipertua Agung PAS dalam penjelasannya telah menegaskan bahawa tindakan Jawatankuasa Kerja Agung PAS adalah berdasarkan Undang-undang Tubuh PAS 1951 yang memperuntukan antara tujuan PAS ialah “bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan.” Sebelum itu, pada 20 April 1953, Yang Dipertua Agung PAS telah membuat penjelasan kepada semua cawangan PAS bahawa PAS tidak terikat dengan pertubuhan yang disertai oleh mereka, sebaliknya PAS berusaha untuk mengambil tindakan yang paling berkesan dalam mencapai kemerdekaan.

Di sebalik penjelasan yang dibuat oleh Yang Dipertua Agung PAS dan tindakan Muhammad Hanif menarik diri dari menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja National Convention, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua itu tetap berpendapat bahawa sebarang perkara yang penting dan besar, Jawatankuasa Kerja Agung PAS perlu mendapatkan persetujuan Mesyuarat Agung PAS, terutama dalam perkara melibatkan politik rakyat dan negara. Satu usul telah dipersetujui, berbunyi “Bahawa Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PAS Yang Kedua yang bersidang pada hari ini tanggal 26.8.1953 mengambil keputusan dan ketetapan supaya perkara-perkara besar, utamanya yang mengenai politik negara dan rakyat hendaklah diperbincangkan di dalam mesyuarat agung khas menurut Undang-undang Tubuh PAS Nombor 10 Cawangan (3) sebelum dijalankan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS.” Usul yang diluluskan sebulat suara ini telah mendorong Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 September 1953 mengambil ketetapan supaya satu Mesyuarat Agung Khas PAS pada 26 September 1953 untuk memutuskan sama ada PAS bersama menyokong National Conference atau National Convention.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: