29 September 2016

29 September 1977 : Dato' Mohamad Nasir Dipecat Dari PAS Kerana Tindakan Merugikan Parti

Pada hari ini dalam tahun 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS dalam satu mesyuarat khasnya telah mengambil keputusan untuk memecat keahlian Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohamad Nasir kerana gagal memenuhi arahan parti supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Tindakan Jawatankuasa Kerja Agung PAS memecat Dato’ Mohamad Nasir ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan krisis politik Kelantan setelah Menteri Besar itu bertindak merugikan kepentingan parti. Setelah beberapa kali memberi peluang kepada Dato’ Mohamad Nasir untuk menyelesaikan krisis ini secara baik, akhirnya PAS terpaksa memecat keahlian beliau dalam PAS.

Isu Dato’ Mohamad Nasir tercetus sebaik sahaja berakhir Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS yang mengetuai BN di Kelantan telah menamakan Wan Ismail Ibrahim (Sungai Rasau) sebagai calon Menteri Besar Kelantan menggantikan Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar, tetapi kerana peranan yang dimainkan pemimpin Umno, Tengku Razaliegh Hamzah dan Abdullah Ahmad, telah menyebabkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menolak calon PAS. Tun Abdul Razak Hussein sebaliknya menamakan Dato’ Mohamad Nasir (Tendong) sebagai Menteri Besar Kelantan, dan PAS terpaksa menerimanya demi keharmonian BN. Dato’ Mohamad Nasir yang menganggap dirinya sebagai “Menteri Besar BN” bukan “Menteri Besar PAS” pada 7 Mei 1975 membuat satu kenyataan yang menimbulkan kemarahan pimpinan PAS Kelantan sehingga timbul desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Setelah beberapa tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS, krisis ini berjaya dipulihkan dan keadaan menjadi reda. Pada 20 November 1976, Dato’ Mohamad Nasir telah memaklumkan secara bertulis kepada Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS tentang hasratnya untuk meletakkan jawatan mulai 31 Ogos 1977 atas alasan kesihatan. Pihak Istana Kelantan juga telah dimaklumkan tentang hasrat Dato’ Mohamad Nasir untuk melepaskan jawatan, tetapi perkara ini diketahui oleh pemimpin Umno, lalu mempengaruhi beliau supaya jangan berbuat demikian. Sebaliknya Dato’ Mohamad Nasir bertindak menyerang pemimpin PAS Kelantan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan salah laku. Sedangkan ketika itu, PAS Kelantan sedang membuat persiapan untuk melantik Menteri Besar Kelantan yang baru.

Pada 31 Ogos 1977, ternyata Dato’ Mohamad Nasir bukan sahaja gagal memenuhi janji untuk meletakkan jawatan, bahkan mula menyerang PAS secara terbuka. Ini menimbulkan kemarahan ADUN-ADUN PAS sehingga mereka pada 8 September 1977 telah mendesak Menteri Besar Kelantan itu meletakkan jawatan sebelum 28 September 1977 atau satu usul tidak percaya akan dibuat ke atas beliau. Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 10 September 1977 mengesahkan pendirian wakil-wakil rakyat tersebut dan mahu satu tindakan tataterbib diambil jika Dato’ Mohamad Nasir terus berdegil sehingga 20 September 1977. Dato’ Mohamad Nasir sebaliknya pada 18 September 1977 telah bertindak menolak kata dua PAS Kelantan terhadapnya. Pada 26 September 1977, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Haji Ishak Lotfi Omar telah mengemukakan laporan krisis Kelantan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, yang diikuti oleh persetujuan supaya Menteri Besar itu melepaskan jawatannya.

PAS Pusat juga memutuskan supaya PAS Kelantan menarik balik kertas kerjanya tentang krisis tersebut dan ADUN-ADUN menarik balik usul undi tidak percaya yang dicadangkan, serta Dato’ Mohamad Nasir diarahkn supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media sepanjang krisis ini. Di sebalik kesediaan semua pihak mematuhi keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 September 1977 itu, Dato’ Mohamad Nasir bukan sahaja tidak melepaskan jawatannya pada 28 September 1977, tetapi berterusan membuat kenyataan kepada media. Atas sebab tersebut, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 29 September 1977 telah mengambil keputusan untuk melucutkan keahlian beliau dari PAS. Walaupun keputusan ini menghadapi isu teknikal kemudiannya, namun pemecatan ini telah disahkan semula oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 10 Oktober 1977 dan diikuti oleh usul undi tidak percaya ke atas beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: